Ahad, 26 November 2023

CUBA LARIKAN BUDAK 3 TAHUN, LELAKI NEPAL DICEKUP ORANG AWAM


SUNGAI PETANI
Cubaan seorang lelaki warga Nepal untuk melarikan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun di hadapan sebuah kedai roti canai di Pekan Jeniang, Gurun, di sini hari ini gagal apabila dia ditahan orang awam.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan anggota Pondok Polis Jeniang, Gurun menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada jam 7.20 pagi tadi.


Kata Zaidy maklumat awam itu memaklumkan suspek cuba melarikan kanak-kanak perempuan terbabit di Taman Seri Emas, di sini berhampiran kedai roti canai itu.

“Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku di tepi Jalan, di hadapan kedai roti canai itu yang mana motosikal bapa mangsa diletakkan di tepi jalan untuk pergi membayar dan mengambil tempahan roti canai yang dibuat.

“Menurut bapa mangsa, anak perempuannya itu ditinggalkan dalam keadaan duduk di bahagian hadapan motosikal (kaki di dalam raga) bersendirian dengan jarak motosikal tidak jauh dari kedai makan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zaidy berkata, berdasarkan keterangan saksi, suspek kemudian meluru ke arah mangsa dan mendukungnya sebelum mengundur beberapa langkah sambil mengacukan pisau ke arah leher kanak-kanak terbabit.

Beliau berkata, suspek turut bercakap dalam bahasa tidak difahami dipercayai bahasa Nepal, seperti meminta wang untuk makan kepada bapa mangsa yg berada di hadapan suspek ketika itu.

“Bapa mangsa yang ketika itu panik cuba menenangkan mangsa sambil memujuk supaya suspek menyerahkan semula mangsa kira-kira tiga minit.

“Dalam usaha mencari peluang ketika suspek leka, orang awam yang turut menyaksikan kejadian itu berjaya menarik tangan suspek dari arah belakang dan terus menangkap suspek  dengan bantuan oleh orang awam lain dan bapa mangsa sendiri.

“Mangsa akhirnya berjaya diselamatkan, dan suspek diserahkan kepada polis,” katanya.

Zaidy berkata, hasil semakan mendapati, satu laporan polis telah dibuat oleh majikan suspek, 8 November lalu mengatakan suspek melarikan diri dari majikannya.

Beliau berkata, siasatan awal yang dilakukan, suspek masuk ke negara ini untuk bekerja di sebuah kilang di Sungai Lalang, di sini sejak sebulan lalu.

“Akibat tekanan kerja yang dihadapi suspek menyebabkan dia melarikan diri dari majikannya.

“Soal siasat awal juga mendapati, motif suspek bertindak demikian kerana terlalu tertekan dengan hidupnya dan berada dalam keadaan kelaparan ketika kejadian kerana sudah beberapa hari tidak makan,” katanya.

Zaidy berkata, tangkapan terhadap suspek turut dilakukan dan sebilah pisau turut dirampas untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, mangsa kemudian di rujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.

https://www.buletintv3.my/nasional/cuba-larikan-budak-3-tahun-lelaki-nepal-dicekup-orang-awam/?utm_source=WA-BuletinTV3&utm_medium=social&utm_campaign=WATraffic 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...