Ahad, 19 November 2023

KEPIMPINAN HARMONI KPN DAN TIMBALANNYA CETUS INSPIRASI WARGA SANG SAKA BIRU


Petaling Jaya, 18 November 2023 – ‘Kepimpinan Harmoni, Sumber Inspirasi’ menjadi tema pada Malam Mes Kepimpinan Tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diadakan di Hotel Sunway Resort, di sini malam tadi.


Majlis Malam Mes yang diadakan dengan penuh istiadat kepolisan itu bersempena meraikan pelantikan dua figura PDRM iaitu IG Tan Sri Razarudin Husain sebagai Ketua Polis Negara (KPN) dan DIG Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay sebagai Timbalan KPN sekali gus menjawat jawatan sebagai Yang Dipertua Mes dan Timbalan Yang Dipertua Mes Pegawai Kanan PDRM. 

Pelantikan Tan Sri Razarudin dan Dato' Sri Ayob pada Jun lalu memperlihatkan gandingan mantap kedua-dua pemimpin tertinggi Pasukan dalam mengemudi Pasukan keramat yang berusia 216 tahun ini.

Berucap dalam majlis yang diadakan, Tan Sri Razarudin memanjat rasa syukur kerana dikelilingi para Pegawai Kanan Polis yang berkaliber dan berdedikasi dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Kehadiran Dato’ Sri Ayob Khan sebagai timbalannya tidak menggusarkan beliau dalam mengemudi Pasukan kerana mempunyai seorang figura yang berpengalaman luas dalam dunia kepolisan.

"Saya amat yakin dengan sokongan yang dizahirkan oleh barisan Pengarah Jabatan PDRM yang sememangnya mempunyai kredibiliti serta kecekapan dalam menetapkan hala tuju jabatan masing-masing".

"Saya juga mengharapkan sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada seluruh warga Pasukan untuk kita terus menjalankan amanah serta tanggungjawab yang diamanahkan ini", ujar beliau lagi.

Kepimpinan yang ditonjolkan kedua-dua pemimpin tertinggi ini diyakini mampu memperkasakan lagi dan memacu hala tuju PDRM ke mercu kegemilangan sekali s1gus menjadi inspirasi kepada seluruh warga Pasukan untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat dan negara.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Puan Sri Zainah Othman, Naib Pengerusi PERKEP Malaysia, SAC Datin Sri Dato’ Zalena Mohd Ariffin, barisan Pengarah PDRM bersama isteri, barisan Ketua Polis Negeri dan Pesuruhjaya Polis bersama isteri, Timbalan Pengarah (Integriti) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman merangkap Pengerusi Jawatankuasa Malam Mes Kepimpinan Tertinggi PDRM, DCP Dato’ Fadzil Ahmat bersama isteri Datin Norsiah Wakiban, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Alzafny Ahmad bersama isteri Puan Afifah Abd Wahab, barisan Komandan dan Komander bersama isteri dan para pegawai kanan polis.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...