TUMPAT, 18 Sept
(Bernama) -- Kehadiran Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN)
Pengkalan Kubor, di sini sememangnya memberi rahmat kepada segelintir
masyarakat terutama kepada pengusaha perniagaan.
Pengusaha kedai
makanan khususnya menerima kehadiran pelanggan yang berlipat ganda berbanding
sebelum ini, ekoran kedatangan masyarakat luar seperti pasukan keselamatan,
petugas pilihan raya dan pegawai kerajaan yang terlibat secara langsung dan
tidak langsung pada PRK tersebut.
Pengusaha budu
tidak ketinggalan menerima 'habuan' PRK kali ini apabila mendapat permintaan
tinggi daripada pengusaha kedai dan orang ramai yang sememangnya semakin
meminati makanan tradisional itu.
Budu yang diperbuat
daripada ikan bilis yang diperam hingga hancur telah lama menjadi kegemaran
masyarakat di negeri Pantai Timur.
Seorang pengusaha
budu tempatan Ismail Jusoh berkata, sejak beberapa hari lalu permintaan
terhadap budu yang dikeluarkannya dalam sehari meningkat berbanding hari biasa.
"Selalu pada
hari biasa saya mengeluarkan 2,000 hingga 3,000 botol sehari, tetapi pada PRK
ini permintaan meningkat sehingga 4,000 botol sehari," katanya yang
ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Ketil, Pengkalan Kubor di sini, hari ini.