Gombak: "Jangan jadi
macai", itu gesaan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang
menggesa pelajar universiti supaya membuka minda mereka dan jangan terlalu
taksub dengan mengikut sesuka hati telunjuk sesuatu pihak tanpa berdasarkan
fakta.
"Pemikiran
perlu dibuka dan jangan terlalu taksub atau mengikut sahaja rentak rakan ke
arah perkara yang negatif sehingga menyebabkan diri sendiri gagal membuat
pendirian," katanya dalam ucapan perasmian Majlis Sambutan Kemerdekaan di
Universiti Islam Antarabangsa (UIA) pagi tadi.
Beliau
menambah, maka disebabkan itulah universiti berperanan sebagai tempat untuk
pelajar berdikari dengan membuat pendirian sendiri dalam semua perkara.
"Bukanlah
bermaksud disini semua perkara hendak ditentang dan dilawan tetapi gunakanlah
minda dalam membuat pendirian yang betul tanpa dipengaruhi oleh orang
lain," katanya lagi.
Ketika
diminta mengulas berkenaan kenyataannya selepas majlis itu, Khairy memberitahu
pemberita bahawa ramai generasi sekarang terutama pelajar universiti suka
'menelan bulat-bulat' apa yang mereka baca atau dengar tanpa mengkajinya dengan
fakta yang betul.
"Saya
risau melihat ramai belia sekarang yang suka 'telan bulat-bulat' sesuatu isu
yang apa sahaja yang dibaca dan didengar tanpa membuat sebarang usul periksa
seperti meneliti atau mengkaji isu itu terlebih dahulu dengan fakta yang
betul," kata Khairy.
Beliau
menyarankan kepada pelajar universiti agar memeriksa dan mengkaji setiap
perkara terlebih dahulu sebelum membuat apa jua keputusan atau sebarang
pendirian dan barulah mereka dianggap bebas daripada segi pemikiran.