Haron Din: Kaji semula kerjasama dalam
Pakatan
Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Haron Din menyeru agar Dewan Ulama
PAS meneliti sama ada kerjasama politik dalam Pakatan Rakyat perlu diteruskan
demi mengelakkan fitnah ke atas pemimpin utama parti Islam itu.
Berucap
dalam Muktamar Dewan Ulama hari ini, Haron berkata "setiap hari ada
fitnah" yang dilemparkan kepada Majlis Syura Ulama, presiden PAS dan semua
anggota PAS.
Beliau
yang menyifatkan PAS menghadapi "suasana politik yang gawat" pada
ketika ini berkata, PAS perlu mengambil jalan terakhir dengan keluar dari
Pakatan sekiranya syarat kerjasama itu tidak dapat dipulihkan.
"Tahaluf
(kerjasama) dibina atas nasihat ulama yang mempunyai syarat dan rukun yang
perlu dipenuhi. Sekiranya semuanya dipenuhi, ulama mempertahan tahaluf demi
kepentingan Islam dan jemaah, bukan untuk kepentingan individu.
"Sekiranya
syarat dilanggar, rukun dirobohkan, ulama wajar memikirkan balik kalau ia boleh
diteruskan (atau tidak).
"(Jika)
syarat-syarat dirobohkan ulama perlu memperbaiki balik, memperbaiki balik,
memperbaiki balik. Kalau tak boleh juga, ambillah konsep talak dalam
perkahwinan, walaupun ia dibenci," katanya.
"Saya
meminta tahaluf diperhalusi semula, dalam suasana politik hari ini, tiap-tiap
hari ada fitnah kepada Majlis Syura, presiden dan semua kena fitnah,"
katanya.
Menurutnya
lagi, bagi anggota PAS yang memperjuangkan reda Allah, maka sepatutnya mereka
tidak bersengketa sesama sendiri bagi mengelakkan kekuatan mereka hilang.
"Kalau
kita tidak kuat, kita akan hilang segala-galanya. Sebab itu kita perlu berada
dalam jemaah,"katanya.