Rakyat DUN Wakaf Mempelam beri mandat kepada BN
Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam perlu memberi mandat kepada calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) supaya dengan kepimpinan BN bukan sahaja mampu mengekalkan, malah mempertingkatkan kemajuan dan pembangunan setempat.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Muhyiddin Mohd Yassin, berkata penduduk di DUN itu sudah berada dalam keadaan sebegini baik dan mendapat pembelaan yang adil walaupun sudah lebih 30 tahun di bawah pembangkang.
“Tadi sebagaimana disebutkan oleh Ketua Bahagian (Umno Kuala Terengganu) dan disusuli dengan Menteri Besar, rakyat tidak dijaga oleh wakil rakyat yang dipilih daripada Pas sudah 32 tahun, baru saya dengar sudah lebih 30 tahun..jadi apa halnya dengan (DUN) Wakaf Mempelam ini, adakah masyarakat Wakaf Mempelam tidak dapat melihat kemajuan yang sudah dicapai yang boleh dibawa oleh kepimpinan Barisan Nasional.
“Adakah saudara tidak tahu Barisan Nasional akan mampu membawa perubahan yang besar dan menyediakan kemudahan yang pelbagai, menyelesaikan masalah rakyat jelata dengan secara berkesan. Kalau jawapannya ya..Sebagaimana Menteri Besar sebutkan tadi, apabila sampai pilihan raya, pangkah dan sokonglah Barisan Nasional,” kata beliau ketika berucap sempena Majlis Sepetang Bersama Timbalan Perdana Menteri, di Perkarangan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad, Kuala Terengganu, petang ini.
Turut hadir,Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu. Hadir sama, Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Pegawai Pembangunan DUN, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah.
Tan Sri Muhyiddin berkata, keputusan rakyat memilih BN pada PRU13 sahajalah cara untuk memulihkan semula sekiranya ada kawasan yang terpinggir dari kemajuan serta wakil rakyat tidak mampu memberi sebarang pertolongan.
Sumber:teganukita
Untuk paparan selanjutnya sila KLIK DISINI