Ahad, 16 September 2012

Hari Malaysia: Sosiobudaya pelbagai kaum perlu dipelihara


Sambutan Hari Kemerdekaan & Hari Malaysia
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan seluruh rakyat Malaysia agar terus menggenggam kuat kejayaan menyatupadukan rakyat berbilang kaum, pegangan agama dan kebudayaan di negara ini.

Beliau berkata, ini demi memastikan kelangsungan keharmonian dan kesejahteraan di Malaysia dapat terus dinikmati oleh generasi akan datang.

"Kepelbagaian sosio budaya inilah yang menjadi aset utama negara dan perlu dipelihara dan terus disemarakkan di bawah gagasan 1Malaysia," katanya dalam kata-kata aluan di dalam buku Program Sambutan Hari Malaysia yang akan disambut di Bintulu, Sarawak esok.
 
Selain itu, Perdana Menteri turut mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk menjenguk semula hasrat dan aspirasi pemimpin-pemimpin terdahulu yang bertindak matang dan berpandangan jauh.

Beliau berkata, hasil daripada tindakan para pemimpin terdahulu itu adalah apa yang dikecapi dan dinikmati oleh seluruh warga negara ini pada hari ini.

"Marilah sama-sama kita bulatkan tekad, satukan azam, teguhkan pegangan dan bergerak seiringan demi kelangsungan satu kehidupan negara bernama Malaysia untuk dulu, kini dan seterusnya," katanya.
   
Menyorot kembali sejarah penubuhan negara Malaysia, Najib berkata, pastinya rakyat tidak boleh menidakkan peranan yang telah dimainkan oleh pemimpin terdahulu dalam menyatukan Semenanjung Tanah Melayu dengan Sabah dan Sarawak di Pulau Borneo.
   
Beliau berkata, ia adalah untuk mewujudkan sebuah negara baru selain bertujuan untuk membantu mempercepatkan proses kemerdekaan Sabah dan Sarawak di samping mengekang pengaruh komunisme yang semakin berleluasa pada ketika itu.
   
"Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra bersama pembesar-pembesar dari Sabah dan Sarawak telah bersepakat untuk menyatukan negeri-negeri yang dipisahkan oleh Laut China Selatan sebagai sebuah negara baru yang dinamakan Malaysia.
   
"Semestinya usaha ini tidak mudah dan menuntut pengorbanan yang bukan sedikit. Tentangan daripada pihak-pihak tertentu pada ketika itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada penubuhan negara Malaysia, namun berkat kesabaran dan kesungguhan serta keinginan yang jitu untuk mencapai kemerdekaan, segala rintangan berjaya diatasi," katanya.
   
Perdana Menteri berkata sambutan Hari Malaysia yang disambut pada 16 September merupakan kesinambungan kepada sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan yang disambut pada 31 Ogos setiap tahun.
   
Beliau berkata, kedua-dua tarikh ini akan kekal dalam lipatan sejarah sebagai tarikh penuh bermakna lambang kemajuan, kemakmuran dan kestabilan negara Malaysia.
   
"Alhamdulillah, saya amat bersyukur ke hadrat ALLAH S.W.T. kerana dengan limpah kurnia dan rahmat-Nya, sekali lagi kita bersama-sama menyambut peristiwa yang penuh bermakna ini iaitu sambutan perayaan Hari Malaysia.
   
"Saat inilah 49 tahun yang lalu lahir negara Malaysia, hari di mana permuafakatan melibatkan keluarga besar Malaysia mula terjalin," katanya.
   
Beliau berkata, Sarawak merupakan tuan rumah pada sambutan Hari Malaysia tahun ini dan semestinya rakyat di negeri itu yang kaya dengan kepelbagaian budaya amat berbangga dan berbesar hati untuk sama-sama menyambutnya di mana kegembiraan itu turut dikongsi penduduk di Semenanjung dan Sabah.
   
"Semoga sambutan seperti ini akan meninggalkan kesan yang mendalam di hati setiap rakyat Malaysia bagi mengingati betapa pentingnya mengekalkan keamanan, keharmonian dan toleransi sesama kita," katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada kerajaan negeri Sarawak selaku tuan rumah kepada sambutan Hari Malaysia tahun ini serta seluruh anggota Jawatankuasa Induk Sambutan atas komitmen yang berterusan bagi memastikan sambutan berjalan lancar. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...