Sewaktu berucap di depan lebih 20,000 penduduk tempatan yang hadir pada majlis jamuan Aidilfitri di Jabi baru-baru ini, Presiden Umno, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dengan suara lantang bertanya kepada mereka “Masihkah Kau Ingat apa yang berlaku di Terengganu pada tahun 1999 (semasa Pas memerintah negeri ini)?”.
Soalan tersebut dibalas dengan laungan ‘ingat’ oleh hadirin majlis tersebut yang meliputi pelbagai lapisan masyarakat, dengan sebahagian besarnya merupakan pengun di kawasan Parlimen Setiu dan Besut.
Sudah pasti ketika itu terbayang di benak fikiran mereka pelbagai peristiwa pahit yang mereka alami semasa Pas memerintah Terengganu dari tahun 1999 hingga 2004.
Pada waktu itu kanak-kanak dihalau dari kelas tadika, ramai imam, bilal dan kakitangan kerajaan dipecat, elaun guru agama dihentikan, jalan rosak tidak dibaiki dan bandar Kuala Terengganu penuh dengan timbunan sampah-sarap.
Penduduk tempatan yang begitu teruja dengan kehadiran Perdana Menteri dan saf kepimpinan Umno di majlis tersebut turut memberi isyarat ‘positif’ terhadap permintaan pemimpin nombor satu negara itu supaya mempertahan kerusi Parlimen Setiu dan Besut serta kelapan-lapan kawasan Dewan Undangan Negeri, pada pilihan raya akan datang.
Mengimbas kembali pelbagai kedukaan yang dihadapi rakyat Terengganu semasa berada di bawah pemerintahan Pas (1999 hingga 2004), ingatan Perdana Menteri itu wajar diberi perhatian serius oleh pengundi di Terengganu.
“Kini rakyat Selangor dan beberapa negeri lain sudah merasai apa yang dirasai penduduk Terengganu dulu,” kata Dato’ Seri Mohd Najib.
Menurutnya, sejarah membuktikan bahawa pemimpin pembangkang hanya pandai berjanji tetapi mereka tidak menunaikannya.
Sebagai bukti, katanya, pembangkang berjanji untuk melakukan banyak perkara di Selangor setelah mereka menang dalam pilihan raya itu seperti pemberian air percuma, bantuan kepada ibu tunggal dan sebagainya, tetapi ia tidak ditunaikan.
Berbanding dengan pembangkang, Barisan Nasional (BN) sentiasa menunaikan janji mereka kepada rakyat, dengan bantuan yang mencurah-curah untuk pelbaagi lapisan masyarakat.
Perdana Menteri berharap rakyat negeri ini mempertahankan Kerajaan BN sampai bila-bila kerana kini terbukti hanya BN layak menggunakan slogan “Janji Ditepati”.
Sumber:teganukita