Sebuah Institut Kaligrafi Islam Antarabangsa (IKIA) yang berharga RM20 juta bakal dibina di Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man, Kuala Terengganu.
Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan melawat replika IKIA sambil disaksikan oleh Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said di TTI sempena Terengganu International Islamic Art Festival 2012
Institut Kaligrafi Islam Antarabangsa (IKIA) yang bakal dibina di Taman Tamadun Islam (TTI) Pulau Wan Man, Kuala Terengganu.
“IKIA akan menggunakan modul pembelajaran yang diguna, dipantau dan diiktiraf oleh OIC Research Institute of Islamic History Art and Culture (IRCICA),”.
“Usaha ini diharap akan mengembalikan kecemerlangan sejarah negeri Terengganu didalam mendaulatkan Islam, sebagaimana tersirat pada inskripsi jawi yang tertera pada Batu Bersurat Terengganu,”.
Menteri Besar berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Terengganu International Islamic Art Festival 2012 (TIIAF) di TTI semalam.
Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan TIIAF 2012. Hadir sama Setiausaha Kerajaan, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ketua Pengarah IRCICA Dr Halit Eren dan Pengerusi TTI, Datuk Haji Zuber Embong.
Katanya, kewujudan institut ini akan menjadi penawar kepada seluruh masyarakat nusantara dan Asia yang kini menanti-nantikan kehadiran pembelajaran seumpama itu di rantau ini.
Menurut Menteri Besar , IKIA akan dilengkapi dengan dewan konvensyen, bilik pameran , bilik tenaga pengajar, tempat jualan kaligrafer dan sebagainya.
“Kita akan masukkan bajet buat institut ini dalam pembentangan bajet kerajaan pada bulan Disember ini dan tahun depan mungkin projek ini dapat dimulakan,” katanya.
Tambahnya, pada kebiasaan tempoh pembinaan dijangka memakan masa dua tahun dan tidak menolak kemungkinan lebih dari itu, ia bergantung kepada kontraktor.
Dato’ Seri Haji Ahmad juga memaklumkan bahawa mulai tahun depan, orang ramai akan dapat melawat TTI pada waktu malam bila kerja pemasangan lampu pencahayaan di sekitar TTI siap.
“InsyaAllah kalau sempat kita berhasrat untuk mengadakan majlis menyambut malam tahun baru 2013 di sini (TTI),” katanya.
Sumber:teganukita