Sabtu, 29 September 2012

BELANJAWAN: Kebajikan Nelayan Dan Petani Terus Diberi Perhatian Oleh Kerajaan


KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Peruntukan yang disediakan kerajaan bagi golongan petani dan nelayan di dalam Belanjawan 2013 dilihat sebagai satu peluang besar untuk golongan itu terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara di samping melindungi kebajikan mereka.

Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Abdul Rahman berkata Skim Perlindungan Takaful Pertanian yang diumumkan dilihat akan membantu dalam menjamin keselamatan bekalan makanan negara.

"Dengan adanya skim perlindungan ia menambah keyakinan pesawah untuk bersama kerajaan bagi mencapai tahap sara diri pengeluar padi negara dengan lebih cepat," katanya.

Katanya, Program Tanam Semula Kelapa Sawit bernilai RM432 juta akan memberi peluang kepada pekebun kecil untuk meningkatkan tahap produktiviti dalam membantu ekonomi pertanian negara.

"Secara dasarnya peruntukan untuk program tanam semula dan perlindungan padi mengambarkan keyakinan kerajaan menerusi bidang pertanian dalam turut sama menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi pada 2020," katanya ketika dihubungi Bernama bagi mengulas mengenai Belanjawan 2013 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kerajaan akan menyediakan jumlah pampasan bernilai sehingga RM13,000 yang akan memberi manfaat kepada 172,000 pesawah dalam usaha meningkatkan aktiviti pertanian manakala sejumlah RM432 juta diperuntukan bagi program penanaman semula pokok kelapa sawit.

Pengerusi Pertubuhan Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), Datuk Moehamad Izat Emir berkata dengan adanya Skim Perlindungan Insurans Berkelompok dilihat menjaga kebajikan peniaga kecil dan penjaja selari dalam membangunkan produktiviti golongan itu.

"Skim itu akan membela nasib peniaga kecil sekiranya berlaku kemalangan dan musibah agar ia sedikit sebanyak membantu dalam menampung kos sara hidup," katanya.

Kerajaan telah memperuntukkan sehingga RM5,000 Skim Perlindungan Berkelompok kepada penjaja dan peniaga kecil bagi mempergiatkan perusahan kecil dan sederhana.

Sementara itu kira-kira 1,200 anggota Persatuan Nelayan kawasan Kuala Selangor gembira dan menarik nafas lega dengan pengumuman peruntukan RM230 juta sebagai insentif tangkapan ikan dan bayaran elaun bantuan sara hidup nelayan.

Pengerusinya, Omar Abdul Rahman berkata langkah kerajaan memberikan elaun merupakan tindakan yang amat dialu-alukan memandangkan golongan nelayan tulen khasnya tidak ada pendapatan apabila cuaca tidak mengizinkan.

"Kami gembira apabila kerajaan menyediakan insentif pada kadar 10 sen hingga 20 sen sekilogram bagi tangkapan ikan dan memperkenal skim perlindungan insurans nelayan," katanya.

-- BERNAMA 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...