Khamis, 6 September 2012

Pakej Mampu Milik Jalur Lebar 1Malaysia


KUALA LUMPUR 4 Sept. - Pakej Mampu Milik Jalur Lebar 1Malaysia pada harga serendah RM20 sebulan akan di perkenalkan di lima negeri bagi mengurangkan jurang digital di kalangan rakyat di negara ini.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, lima negeri tersebut adalah Sabah, Sarawak, Terengganu, Kelantan dan Pahang.

“Kita pilih negeri-negeri tersebut kerana kadar penembusan jalur lebar masih belum mencapai kadar penembusan jalur lebar kebangsaan iaitu 64 peratus.


“Sasaran kita lebih kepada komuniti luar bandar yang berkemungkinan besar tidak berkemampuan memiliki kemudahan jalur lebar. Kita cuba dahulu pakej ini dan andainya dapat sambutan kita akan cuba perluaskan," katanya selepas majlis pelancaran pakej itu di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia, Datuk Sharil Tarmizi; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia (TM), Datuk Seri Zamzamzairani Mohd. Isa; Timbalan Menteri, Joseph Salang; Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Communications Berhad, Sandip Das dan Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Bhd, Datuk Seri Shazalli Ramly.

Menurut Rais, pakej yang bakal berada di pasaran menjelang 16 September ini juga akan menjamin kejelasan suara yang baik, kualiti yang elok, tiada panggilan terencat atau terputus seperti yang terkandung dalam piagam syarikat telekomunikasi.

“Kita mohon jasa baik syarikat telekomunikasi untuk terus meningkatkan perkhidmatan mereka supaya bilangan pengguna bertambah terutama di negeri-negeri yang mempunyai kadar penembusan jalur lebar lebih rendah berbanding kadar penembusan kebangsaan," katanya.

Di samping itu, beliau juga meminta syarikat-syarikat terbabit menangani masalah talian terputus yang sering mendapat aduan daripada pengguna.

Pakej perkhidmatan tanpa wayar yang ditawarkan adalah antara RM20 ke RM25 sebulan bagi kelajuan jalur lebar minimum 512 kilobit per saat (kbps) dengan kapasiti 1 gigabit (GB) manakala perkhidmatan berwayar adalah RM38 dengan kelajuan minimum 384kbps dengan kapasiti tanpa had.

Sementara itu, Shazalli Ramly berkata, usahasama antara syarikat telekomunikasi dengan kerajaan bertujuan untuk memenuhi keperluan rakyat mengikut kapasiti masing-masing.

“Misi kerajaan turut didukung oleh syarikat komunikasi untuk menyokong misi kerajaan dalam membangunkan industri telekomunikasi yang semakin pesat di negara ini," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...