Jumaat, 14 September 2012

Kontraktor Gagal Siap Projek Akan Disenarai Hitam - Ahmad Said


KUALA TERENGGANU, 13 Sept (Bernama) -- Kerajaan Terengganu akan menyenarai hitam kontraktor yang gagal menyiapkan sebarang projek yang diberikan, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

Sambil meminta para kontraktor memberi komitmen penuh terhadap pelaksanaan sesuatu projek, Ahmad Said berkata kerajaan mempunyai perancangan pembangunan berjadual dan tidak akan bertolak ansur dengan kontraktor yang gagal menyiapkan kerja.

"Kalau mereka gagal siapkan projek diberikan sehingga menimbulkan kerugian kepada kerajaan, kita terpaksa senarai hitamkan, biarpun kepada kontraktor Bumiputera," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-36 Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Terengganu di sini, Khamis.

Turut hadir Yang DiPertua PKMM Terengganu, Datuk Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri dan Naib Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Datuk Mohd Rosdi Abdul Aziz.

Malah, Ahmad turut menyelar sikap sesetengah kontraktor yang tidak amanah dalam hasil kerja menyebabkan banyak projek penyelenggaraan infrastruktur awam dan projek infrastruktur asas di negeri ini, terbengkalai atau runtuh.-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...