MARANG, 23 Sept (Bernama) --
Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang yang terletak dalam Parlimen Marang
adalah antara destinasi tumpuan pelancong yang terkenal di Terengganu.
Jika berkunjung ke kawasan ini, pelancong pasti tidak lupa untuk singgah ke
Kelulut untuk mencari keropok lekor yang dijual di puluhan gerai yang terletak
di tepi pantai dengan berlatar belakangkan keindahan panorama Pulau Kapas.
Bagi penggemar air nira yang juga dipanggil air tuak oleh penduduk setempat, jalan raya sepanjang Pantai Kelulut juga adalah persinggahan wajib untuk melepaskan dahaga, sebelum mereka meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu mahupun Kuantan.
Bagi penggemar air nira yang juga dipanggil air tuak oleh penduduk setempat, jalan raya sepanjang Pantai Kelulut juga adalah persinggahan wajib untuk melepaskan dahaga, sebelum mereka meneruskan perjalanan ke Kuala Terengganu mahupun Kuantan.
Namun, keindahan alam semula jadi dengan produk makanan dan minuman tradisi itu
masih belum cukup kuat untuk menggamit limpahan pembangunan ke Rhu Rendang
kerana hampir 30 tahun ia dikuasai pembangkang, ternyata apa yang dijanjikan
masih belum ditunaikan.
Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Nik Dir Nik Wan Ku ketika ditemui Bernama
hari ini berkata kawasan itu akan kekal mundur jika pengundi masih memberi
mandat kepada pembangkang pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) nanti.
"Pengundi perlu sedar, kena bangkit dari tidur selama ini, untuk kembali
mengejar pembangunan yang dikecapi kawasan lain dengan memberi mandat kepada BN
(Barisan Nasional) khususnya Umno untuk menjadi wakil mereka dalam persidangan
dewan negeri demi kepentingan generasi akan datang.
"Apa yang penduduk DUN Rhu Rendang dapat, adakah sebarang pembangunan yang
dilakukan oleh Adun sekarang? Malah, ramai anak muda kita terpaksa berhijrah
keluar kerana tiada peluang pekerjaan di kawasan ini," katanya.
Sehingga 3 Mac 2012, seramai 22,511 pengundi direkodkan oleh Suruhanjaya Pilihan
Raya (SPR) bagi dewan negeri itu untuk memilih pemimpin di 10 peti undi pada
PRU-13 ini.
Walaupun Rhu Rendang dikuasai pembangkang, namun kerajaan negeri Terengganu di
bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said tidak pernah meminggirkan
penduduk di kawasan itu.
Antara projek pembangunan yang dapat dimanfaatkan oleh penduduknya ialah
pembinaan 1,000 unit rumah mampu milik di Kampung Bukit Gasing dengan keutamaan
diberi kepada penduduk Rhu Rendang untuk membelinya.
Nik Dir berkata, sehingga kini 600 unit rumah sudah siap manakala bakinya
dijangka siap dalam masa terdekat yang diharap mampu memberi peluang kepada
penduduk untuk memiliki kediaman sendiri dengan harga berpatutan.
"Bagi penduduk Kelulut pula, sebanyak 300 unit rumah pelbagai jenis akan
dibina di tanah seluas 16.8hektar yang bakal menyediakan beberapa unit rumah
banglo, rumah kedai, rumah teres dan rumah berkembar untuk dimiliki penduduk,
juga dengan harga yang relevan.
"Projek Konsortium Perumahan Rakyat ini dengan kerjasama sebuah syarikat
swasta dijangka memulakan kerja-kerja tanah dalam tempoh dua bulan lagi, juga
antara usaha kerajaan negeri merancakkan aktiviti ekonomi penduduk di DUN Rhu
Rendang," katanya.
Kebanyakan penduduk di Rhu Rendang bekerja sendiri dengan menjadikan perniagaan
sebagai sumber utama pendapatan mereka, selain ramai yang menjadi nelayan dan
petani.
Ada juga penduduk yang memberi tumpuan terhadap usaha menternak ikan air tawar
dan ikan marin secara persendirian dengan bimbingan dan bantuan Jabatan Perikanan
Negeri Terengganu serta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu.
Mengulas mengenai usaha menarik kedatangan pelancong ke Rhu Rendang pula, Nik
Dir berkata pada dasarnya, kerajaan negeri bersetuju untuk membangunkan kawasan
di sekitar muara Sungai Marang untuk dijadikan pusat hotel dan resort
peranginan dengan anggaran kos RM200 juta.
"Ada beberapa syarikat yang berminat untuk melabur di situ dan permohonan
mereka kini sedang diteliti oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dengan
mengambil kira kepentingan nelayan di jeti sungai itu.
"Jika ia diluluskan dalam mesyuarat Exco, kawasan itu akan dibangunkan
dengan hotel bertaraf tiga bintang, resort, apartmen dan rumah kedai, namun
dalam masa sama akan mengekalkan bot-bot nelayan di kawasan itu untuk tatapan
pelancong," katanya.
Muara Sungai Marang itu juga akan diperdalamkan lagi untuk membolehkan bot-bot
nelayan memasuki jeti sebagai kemudahan membawa pelancong berulang alik ke
Pulau Kapas yang terkenal dengan aktiviti mencandat sotongnya mulai Mac hingga
Jun setiap tahun.
Kawasan pantai Kelulut juga akan dilimpahi pelancong asing sepanjang tempoh itu
sekali gus meningkatkan aktiviti ekonomi penduduk setempat dalam perniagaan
makanan, perusahaan kraftangan dan perkhidmatan bot.
Bagi warga emas pula, Nik Dir menjelaskan kebanyakan mereka masih mengusahakan
produk kraftangan yang berasaskan anyaman untuk dijadikan bakul, tikar dan
barangan perhiasan dengan bimbingan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia
(PKKM) cawangan Terengganu.
"Suka saya menjelaskan bahawa walaupun Rhu Rendang ini dikuasai
pembangkang, kerajaan Barisan Nasional tidak pernah mengabaikan pembangunan dan
kebajikan penduduk, malah mereka sentiasa diberi pelbagai bantuan secara
berterusan, membuktikan pemimpin sentiasa menunaikan janji yang dibuat.
"Saya sangat berharap agar pengundi memberi mandat kepada kerajaan BN pada
PRU 13 ini bagi membolehkan Rhu Rendang terus maju seiring kawasan lain di
Terengganu," katanya.
Pada PRU 12 lalu, calon PAS yang juga Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang memenangi kerusi Rhu Rendang dengan mengalahkan calon BN, Razali Idris
dengan majoriti 1,435 undi.
Jumlah pengundi Dun itu pada PRU-12 ialah 18,798 dengan peratusan kaum
didahului oleh Melayu (99.17 peratus), Cina (0.51), India (0.14) dan lain-lain
(0.17 peratus). BERNAMA