Menteri
Besar Selangor berkata PKR harus bergerak ke hadapan dan keluar dari kerangka
Anwar-centric untuk memastikan parti itu kekal relevan (Sumber) pada masa hadapan.
“Saya tidak mahu meramalkan apa yang berlaku pada 28 Oktober
tetapi berharap mahkamah melihat fakta-fakta kes sebelum membuat keputusan.
“Tetapi apapun yang berlaku sekarang, perjuangan akan
diteruskan. ini bukan perjuangan seorang insan tetapi perjuangan rakyat iaitu
satu isu keadilan,”kata Azmin dalam wawancara eksklusif yang disiarkan akhbar
Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya wartawan apakah keputusan
mahkamah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan kes liwatnya nanti akan
menjejaskan penjuangan Pakatan Rakyat.
“Memang sebelum ini, ada
andaian Parti Keadilan ini adalah Anwar centric-party.
Memang pada 1998/99, kita memperjuangkan untuk kebebasan Anwar kerana beliau
adalah simbol kezaliman dan rakyat bangkit dengan gerakan yang cukup besar
dalam negara.
“Benar pada awalnya, kita perjuangkan Anwar tetapi selepas itu
kita membincangkan isu-isu besar tentang keadilan rakyat,” katanya.
Menyentuh tentang cadangan PKR melantik Datuk Seri Dr Wan Azizah
Wan Ismail sebagai Menteri Besar tidak berjaya sebaliknya beliau yang dilantik
mengambil alih jawatan tersebut, Azmin berkata ia merupakan sebahagian proses
demokrasi.
“Saya bukan baru dalam perjuangan reformasi. Saya bersama (Datuk
Seri) Wan Azizah dalam gerakan reformasi sejak 1988 sehinggalah PR berkembang
sehingga hari ini.
“Pelantikan yang diputuskan ini adalah mandat dari parti dan
keputusan telah dibuat dan saya bersyukur krisis MB ini berakhir. Ramai yang
menjangkakan krisis ini akan berlanjutan malah ramai yang terkejut termasuk
juga rakan saya dari pihak yang di sebelah sana, mereka terkejut kerana krisis
ini diselesaikan dalam keadaan harmoni.
“Sememangnya terdapat sedikit pandangan berbeza di kalangan
kami, tetapi apa yang berlaku adalah sebahagian dari proses demokrasi, ”
katanya lagi.