"Setiap
kali Datuk Seri akan disumbat ke dalam penjara, maka setiap kali itulah rakyat
akan diheret ke jalan raya. Sampai bila rakyat akan terus terheret
dalam semua ini?
Kumpulan belia yang cenderung pada Pakatan Rakyat, Lensa Anak Muda
Malaysia (LENSA - Klik) menimbulkan gesaan agar ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar
Ibrahim bersara dari politik.
Gesaan
itu bagi menghadapi perhimpunan untuk menyokong Anwar, yang dipromosi dengan
nama himpunan 'Rakyat Hakim Negara' yang akan diadakan pada akhir bulan ini.
Jurucakap
LENSA, Ekhsan Bukharee berkata, rakyat tidak perlu diheret ke jalan raya setiap
kali Anwar menghadapi kes di mahkamah.
Beliau
juga mendakwa, semakin ramai yang menunjukkan sikap negatif ke atas bekas
timbalan perdana menteri Umno itu.
"Apa
yang amat kami harapkan ialah, demi rakyat, Datuk Seri bersaralah,
berhijrahlah.
"Nyata
semakin ramai yang tidak menggemari Datuk Seri. Jelas sekali modus operandinya
sama dan berulang seperti tahun tahun terdahulu.
"Setiap
kali Datuk Seri akan disumbat ke dalam penjara, maka setiap kali itulah rakyat
akan diheret ke jalan raya.
"Datuk
Seri, sampai bila rakyat akan terus terheret dalam semua ini?," soalnya
dalam surat yang diperolehi Malaysiakini.
Menurutnya,
Anwar perlu bersimpati dengan golongan penyokong yang sejak sekian lama
menunjukkan solidariti bersama Anwar.
"Berhimpun,
berkumpul, bersorak melaung-laungkan nama Datuk Seri.
"Sampai
bila Datuk Seri ingin melihat rakyat berpanas, berkeringat di bawah panas
matahari, hanya kerana bersolidariti bersama Datuk Seri," kata Ekhsan
lagi.
Himpunan
'Rakyat Hakim Negara' anjuran sayap pemuda PKR, AMK itu diadakan pada tarikh
keputusan rayuan terakhir Anwar di Mahkamah Persekutuan dalam kes Liwat II.