Barisan Nasional (BN) tidak boleh leka dengan peningkatan sokongan pengundi muda terhadap parti itu kerana sokongan itu akan berubah bila-bila masa mengikut isu semasa yang berlaku dalam negara lebih-lebih lagi jika ia berkaitan dengan golongan tersebut.
Pengalisis Politik, Prof Madya Datuk Dr Mohamad Agus Yusoff berkata, pendirian golongan muda sekarang sukar dibaca biarpun mereka ini dikatakan kembali menyokong BN kerana mereka mempunyai cara pemikiran yang tersendiri .
“Saya berbeza pendapat kerana bagi saya pengundi muda sekarang ini sukar untuk dibaca corak sokongan mereka terhadap sesebuah parti politik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hasil kajian Zentrum Future Studies yang menunjukkan BN mendahului pakatan pembangkang sekurang-kurangnnya tiga peratus dalam persaingan untuk mendapatkan sokongan anak muda dalam pilihan raya umum akan datang.
“Memang 60 peratus daripada mereka adalah pengundi atas pagar dan mereka ini akan bertindak di saat akhir berdasarkan isu semasa.
“Golongan muda kini lebih melihat kepada isu-isu yang menjaga kebajikan mereka. Contohnya dari segi ekonomi, kos hidup, peluang pekerjaan untuk mereka dan isu sejagat. Saya rasa itu yang mereka tengok. Keadaan ini berbeza dengan masa dulu,” katanya.
Oleh yang demikian beliau berkata, mana-mana parti yang ingin memenangi hati orang muda ini mereka perlu peka terhadap tren pasaran politik.
Sementara itu, Pengasas Zentum, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah berkata, golongan generasi muda kaum Cina adalah golongan yang memberikan sebahagian besar sokongan terhadap Pakatan Pembangkang.
“Dalam demografi Suruhanjaya Pilihanraya, jumlah kaum muda mencecah sehingga 68 peratus, bermakna kaum muda Cina secara total daripada 88 hingga 92 peratus menyokong Pakatan Pembangkang.
“Sokongan dikalangan masyarakat Cina terhadap Pakatan, tanpa mengikut gender dan umur dianggarkan pada kadar 82 hingga 88 peratus manakala pengundi Melayu pula, ia kekal pada kadar 22 hingga 28 peratus, untuk memberi kelebihan sokongan tiga hingga lima peratus kepada BN,” katanya.
Walau bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan ada berlaku perubahan pada saat-saat akhir kerana golongan terbabit disifatkan lebih peka terhadap perkembangan isu semasa.
Kedua-dua mereka ditemui selepas wacana perdana Pilihan Raya Umum Ke-13: BN atau PR di Kompleks Balai Islam di sini, malam tadi.
Wacana itu turut menampilkan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Saifuddin Nasution: pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Samsul Adabi Mamat dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifudin Abdullah.