Jumaat, 9 Disember 2011

MB mahu saman wakil rakyat Pas


Kerajaan negeri dan Menteri Besar Terengganu akan mengemukakan saman fitnah terhadap wakil rakyat Pas, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi kerana mengeluarkan kenyataan bohong kononnya terdapat penyelewengan RM30 juta bagi bantuan pakaian sekolah.

Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Buruk itu seperti disiarkan dalam Harakah bertarikh 11-13 November 2011 itu adalah pembohongan bersiri yang dilakukan wakil rakyat berkenaan, bagi menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional(BN) dan beliau sendiri sebagai Menteri Besar Terengganu.



“Kita telah mendapatkan pandangan peguam berhubung kenyataan itu dan pihak kami diminta mengemukakan saman fitnah secepat mungkin bagi membersihkan imej Kerajaan Terengganu dan Menteri Besar Terengganu,” katanya pada sidang media selepas berakhirnya sidang Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah yang mewakili kerajaan negeri akan mengemukakan saman tersebut dan beliau selaku Menteri Besar akan turut mengemukakan saman yang sama terhadap wakil rakyat Pas berkenaan.

Beliau berkata, akhbar Harakah dan penerbitnya akan turut dinamakan sebagai defendan dalam saman fitnah yang akan dikemukakan dalam tempoh terdekat ini.

“Kita telah mendapatkan pandangan Penasihat Undang-Undang Negeri Terengganu berhubung dakwaan ini dan pihak kami diminta supaya meneruskan saman itu,” katanya.

Dr Syed Azman melalui artikel dalam akhbar itu mendakwa terdapat penyelewengan berjumlah hampir RM30 juta berhubung bantuan pakaian seragam sekolah dan perkara itu mendapat teguran Laporan Ketua Audit Negara.

“Dakwaan ini tidak benar sama sekali kerana ia tidak pernah berlaku. Apa yang sebenarnya berlaku ialah kita membekalkan pakaian seragam sekolah bernilai RM7 juta sahaja pada tahun 2009.

“Perkara ini tidak disebut dalam laporan Ketua Audit Negara, sebaliknya pujian telah diberikan dengan menyebut program Ini telah membantu meringankan beban kewangan keluarga miskin. Apa yang seleweng?,” katanya.

Beliau berkata, tindakan saman malu itu pwerlu dilakukan bagi memberi pengajaran kepada pemimpin Pas supaya tidak melakukkan pembohongan bagi menjatuhkan kerajaan BN.

“Kita tidak mahu rakyat keliru dengan kenyataan bohong seperti itu kerana mereka tidak tahu kedudukan sebenar perkara ini,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...