Jumaat, 16 Disember 2011

Terengganu jadi contoh Program Permata Negara


Isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor mahu negeri lain mencontohi usaha dan kejayaan Terengganu dalam pelaksanaan Program Permata Negara.


“Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada kerajaan negeri yang memberi perhatian khusus kepada program pembangunan dan pendidikan awal kanak-kanak.

“Adalah tidak keterlaluan jika dikatakan Terengganu boleh dijadikan contoh dalam pelaksanaan Program Permata Negara,” katanya sempena Majlis Penyampaian Sijil Program Hafazan Muqaddam (23 Surah lazim) Kanak-kanak Taska Permata Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), di Stadium Negeri, hari ini.



Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib dan Pengarah YPKT, Encik Mohd Safaruddin Mustaffa.



Datin Paduka Seri Rosmah berkata,sebagai contoh, di Terengganu terdapat 32 Taska permata yang dilaksanakan di setiap Dewan Undangan Negeri, selain 34 Taska Keluarga yang dinaiktaraf sebagai Taska Permata keluarga.

“Selain itu juga, 15 Taska Permata Kemas, dua Taska Permata perpaduan, empat Taska Permata Komuniti dan dua Pusat Anak Permata Negara.Ini bermakna, jumlah keseluruhan Taska Permata di Terengganu berjumlah 89 buah,” katanya.


Beliau juga berharap program hafazan muqaddam dijadikan permulaan kepada pembelajaran kitab suci al-Quran.



“Seharusnya ia juga perlu dilengkapkan dengan kefahaman mengenai aplikasi al-Quran sebagai sumber ilmu dalam pelbagai bidang sama ada yang berkaitan dengan ilmu sains, biologi, biotani, fizik, matematik atau sains kemanusiaan.

“Sesungguhnya ayat-ayat al-Quran adalah kalam Allah dan mengandungi ciri-ciri keajaiban yang membuktikan bahawa ianya adalah wahyu kudus dari Allah S.W.T,” katanya.



Dalam majlis itu, seramai 1,012 kanak-kanak berusia tiga hingga empat tahun dari Taska Permata YPKT seluruh Terengganu berjaya menghafaz 23 surah muqaddam.


Majlis turut disusuli dengan acara penyampaian sijil hafaz muqaddam dan cenderahati, penyerahan surat perlantikan ibu angkat Taska kepada isteri Ahli Dewan Undangan Negeri serta penyerahan sumbangan kenderaan oleh TOP IT Industries dan Kumpulan Ladang Rakyat Terengganu kepada YPKT.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...