Jumaat, 23 Disember 2011

Terengganu terus ungguli PMR


Terengganu meneruskan legasi kecemerlangan dalam keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) apabila 1,962 atau 8.95 peratus pelajar berjaya memperolehi semua A tahun ini berbanding 1,746 (7.81 peratus) pada tahun lalu.


Prestasi yang melonjak berbanding tahun lalu dan menghampiri sasaran 10 peratus pelajar mendapat semua A (2011) itu bertambah 1.15 peratus atau 216 pelajar pada tahun ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Hashim Mohd Zin, berkata Gred Purata Negeri (GPN) meningkat 2.57 berbanding 2.58 pada tahun lalu.


Katanya, seramai 15,127 atau 69.04 peratus calon sekolah bantuan penuh kerajaan lulus semua mata pelajaran (minimum D) berbanding 15,034 calon (67.23 peratus) pada tahun lalu, iaitu peningkatan seramai 93 calon.

Beliau berkata, sebanyak 26 sekolah berjaya mencapai prestasi A atau sekolah berpencapaian tinggi Gred Purata Sekolah (GPS) 1.00 hingga 1.80 pada tahun ini berbanding 25 sekolah pada tahun lalu.

Encik Hashim berkata, Terengganu bukan sahaja mencatat peningkatan jumlah sekolah berpencapaian tinggi, malah 18 sekolah berjaya mencapai 100 peratus minimum D.

“Angka ini menunjukkan satu lompatan saujana jika dibandingkan pada tahun lalu yang hanya mencatat lapan sekolah sahaja lulus 100 peratus,”katanya ketika mengumumkan keputusan PMR seluruh Terengganu, di JPNT, Kuala Terengganu, hari ini.


Antara sekolah berpencapaian tinggi,Sekolah Menengah (SM) Sains Sultan Mahmud Kuala Terengganu (GPS 1.03); SM Imtiaz Besut (1.04); SMKMak Lagam, Kemaman (1.04); SMK Lembah Bidong, Setiu (1.07); SMK Tengku Mahmud, Besut (1.09); SM Imtiaz Kuala Berang (1.09); SM Imtiaz Dungun (1.11); SM Imtiaz Kuala Terengganu (1.11) dan SMKA Sheikh Abdul Malek (1.13).

Manakala antara sekolah yang mencapai 100 peratus minimum D, SM Sains Sultan Mahmud, SMK Mak Lagam, SMK Lembah Bidong, SMK Tengku Mahmud, SM Imtiaz Besut, SM Imtiaz Kuala Berang, SM Imtiaz Dungun, SM Imtiaz Kuala Terengganu, SMK Pelong, SM Sains Dungun, SMK Tengku Ampuan Intan, SMK Sultan Sulaiman dan SMK Rantau Petronas.

“Pencapaian calon pada tahun ini pada umumnya meningkat dari segi kualiti dan kuantiti.Rekod pencapaian ini merupakan yang terbaik dalam tempoh lima tahun.

"Saya percaya bahawa peningkatan GPN ini disebabkan oleh kegigihan, kesungguhan dan kecaknaan semua pihak di peringkat jabatan dan di peringkat sekolah mahupun ibu bapa,” katanya.

Menurutnya, perancangan teliti, pelaksanaan program kecemerlangan akademik yang berterusan, permuafakatan yang jitu dan kecaknaan yang tinggi semua pihak menjadi tunjang ke arah kelestarian pencapaian itu.

Sementara itu, pencapaian pelajar bandar menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya. Bagaimanapun, pencapaian pelajar luar bandar sedikit merosot berbanding 2010.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...