Khalid bakal tubuh parti politik baru dan DUN akan dibubarkan.
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bakal
menubuhkan sebuah parti politik baru bagi berdepan segala kemungkinan dalam
kemelut penyingkirannya sebagai menteri besar Selangor.
Bekas setiausaha politiknya, Faekah Husin juga menafikan bahawa
Khalid berhajat untuk kekal sebagai menteri besar, sebaliknya segala urusan
peralihan perlu berpandukan kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri
Selangor.
"Khalid bakal menubuhkan parti baru. Saya rasa lebih baik
kita tunggu dan lihat apa tindakan beliau selanjutnya.
"Pendirian Khalid yang kini cuba digambarkan kononnya beliau
dalam apa cara sekalipun mahu mempertahankan jawatan MB, itu adalah gambaran
jahat.
"Tidak tepat mengatakan Khalid begitu kerana beliau sudah
beberapa kali menyatakan pelantikan dan pemecatan menteri besar hendaklah
dilakukan secara teratur, tertib dan berhemah," katanya dalam satu
wawancara yang diterbitkan Berita Harian hari ini.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat mengadakan mesyuarat hari ini bagi
menyatakan pendirian sama ada mahu terus mengekalkan Khalid sebagai menteri
besar atau menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar
baru.
Majlis Syura PAS yang bermesyuarat tempoh hari mahu Khalid
dikekalkan kerana tiada apa-apa bukti yang disabitkan Khalid melakukan
penyelewengan dalam tugasnya sebagai menteri besar.
Faekah berkata Khalid mengambil langkah tepat apabila enggan
meletak jawatan sebagai menteri besar Selangor bagi memastikan kerajaan Pakatan
Rakyat (PR) terus memerintah negeri.
Katanya, tindakan yang dilakukan Khalid tidak dihargai kumpulan
tertentu, malah partinya sendiri mengambil keputusan mudah melucutkan
keahliannya.
“Cuba bayangkan jika Khalid menurut perintah PKR dan meletakkan
jawatan seperti yang diputuskan mereka (PKR) pada 21 Julai lalu. Pada ketika
itu, seluruh barisan Exco akan gugur dan Selangor tidak mempunyai pihak
berkuasa negeri.
“Sehingga hari ini, PAS, DAP dan PKR masih gagal mencapai kata
sepakat siapa calon yang akan menggantikan Khalid. Itu belum lagi mendapat
perkenan Sultan Selangor. Proses akan mengambil masa tidak kurang 3 hingga 4
minggu. Situasi di Selangor akan menjadi caca-marba tanpa pihak berkuasa
negeri.
“Khalid cuba menyelamatkan negeri ini daripada bertambah kacau,
sebaliknya pula dituduh gila kuasa. Oleh kerana itu juga, beliau dipecat dari
PKR kononnya melanggar keputusan parti,” katanya kepada Berita Harian.
Ada unsur niat jahat
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MBI) itu juga
tidak menolak kemungkinan PKR mempunyai niat jahat memecat Khalid kerana proses
penyingkiran tersebut tidak dihakimi secara adil.
Katanya, isu pemecatan Khalid dari PKR diserahkan sepenuhnya
kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) bagi melihat kewajaran sejauh mana pimpinan
parti mengendalikan proses pemecatan itu secara telus.
“Adakah pemecatan berkenaan sudah melalui proses sebenar
berlunaskan prinsip 'common sense' dan 'natural justice' yang sememangnya hak
setiap insan?
“Sekiranya proses ini tidak dihormati, agak sukar untuk dinafikan
ada unsur berniat jahat,” katanya kepada Berita Harian. – 17 Ogos, 2014.