PUTRAJAYA: Lebih 35,000
nelayan asing bekerja menangkap ikan di negara ini ketika ini dan jumlahnya
semakin meningkat berikutan permintaan ke atas sumber protein itu yang
bertambah saban tahun.
Lambakan
tenaga kerja asing dalam industri perikanan negara dikhuatiri menyebabkan isu
keselamatan di sempadan seperti penyeludupan bekalan ikan, diesel bersubsidi
dan penagihan dadah di tengah laut semakin sukar ditangani. Ia tidak termasuk
masalah sosiologi ke atas penduduk tempatan.
Bagaimanapun,
kehadiran mereka dipercayai turut menyumbang kepada aktiviti menjual ikan di
tengah laut seperti dibongkar BH dalam laporan khasnya sebelum ini.
BH
pada 20 Ogos lalu mempersoalkan kenapa Malaysia masih perlu mengimport 400,000
tan ikan tahun lalu membabitkan nilai RM3 bilion, sedangkan nelayan tempatan
mendaratkan 1.47 juta tan ikan berbanding keperluan negara hanya 700,000 tan.
Bebas turun, naik ke darat
Tinjauan
BH bersama pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pangkalan
pendaratan ikan di Tok Bali, baru-baru ini, mendapati ada pekerja asing
dipercayai dari Vietnam dan Thailand, bebas turun naik ke darat.