Pemantauan amat lemah dan tidak berkualiti.
Kuala
Lumpur: Penguatkuasaan terhadap penyebaran ajaran sesat tidak boleh lagi menggunakan
kaedah lama sebaliknya perlu sentiasa berada satu langkah ke hadapan dan
menggunakan teknologi terkini bagi menepis ancaman kegiatan itu yang kini
menggunakan teknologi sebagai medium mereka.
Pendakwah dan penceramah bebas Ahmad Dusuki Abd Rani berkata,
perkembangan teknologi adalah satu cabaran kepada anggota penguat kuasa dalam
menangani kegiatan itu yang bijak mengambil peluang untuk memesongkan akidah
umat Islam.
Katanya, kewujudan kumpulan ajaran sesat termasuk Ayah Pin
disebabkan kegiatan mereka tidak dibanteras dari awal menyebabkan lama-kelamaan
ia menjadi berleluasa.
Saya ibaratkan seperti pencuri dan polis, jika pencuri lebih
cerdik maka sukar untuk kita tangkap dia. Sama juga dengan ajaran sesat.
Jadi, saya melihat pemantauan terhadap ajaran sesat ini terlampau
lemah kerana dalam suasana sekarang ini penguatkuasaan perlu selari dengan
perkembangan teknologi dan tidak boleh di takuk lama.
Seperti dalam kes ini, kita lihat begitu mudah untuk mereka
menghasilkan aplikasi yang membabitkan tafsiran ayat al-Quran,” katanya ketika
dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.
Harian Metro, semalam melaporkan kumpulan ajaran sesat yang sudah
diwartakan pihak berkuasa sebagai terkeluar daripada Islam, dikesan cuba
memesongkan umat Islam negara ini menggunakan aplikasi al-Quran digital.
Biarpun perbuatan mereka
sudah dikesan sejak awal tahun ini dan diarah menarik balik aplikasi itu,
pengamal ajaran sesat itu tetap berdegil.