Terengganu merupakan negeri pertama di dunia yang mengagihkan e-book secara percuma kepada pelajar sekolah rendah seluruh negeri.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said meminta penduduk negeri ini supaya melayari internet dan mencari negara mana di dunia ini yang memberi e-Book secara percuma kepada pelajar selain dari kerajaan negeri Terengganu.
“Murninya perjuangan kerajaan Umno, walupun dimaki dan dicaci dengan pelbagai tuduhan dan gelaran, kita tetap beri tanpa mengira fahaman politik,” katanya di majlis Penyerahan e-Book Pelajar Tahun Empat Dun Bukit Tunggal di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Tunggal, petang ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Encik Hashim Mohd Zin dan Pengawai Pembangunan Dun Bukit Tunggal, Haji Ismail Nik.
Menteri Besar berkata, sehingga akhir tahun lepas 92,326 pelajar tahun Empat hingga Enam sudah menerima alat bantuan pelajar berkenaan daripada kerajaan dengan kos kira-kira RM92 juta.
Katanya, kalau dicampur dengan tiga bulan pertama tahun ini kira-kira 100,000 pelajar sekolah rendah sudah menerima e-Book, bermakna lebih RM100 juta telah dibelanjakan dalam usaha memastikan mereka cemerlang dalam pelajaran sejak program ini diperkenalkan sejak empat tahun lalu.
“Kalau nak fikirkan pasal kritikan parti pembangkang apa pun kita tak boleh buat, semuanya salah dan tidak berfaedah bagi pandangan mereka, tapi BN sebuah kerajaan bertanggung jawab berkorban apa saja demi kecemerlangan generasi akan datang,” katanya.
Seramai 271 pelajar Tahun Empat dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tunggal (152), SK Pulau Duyong (46) dan SK Bukit Tumboh (73) menerima e-Book yang disampaikan Menteri Besar bersaksikan ibu bapa masing-masing petang ini.