Sabtu, 31 Mac 2012

Penerima BR1M DUN Rhu Rendang Berterima Kasih Kepada BN



Jika 7,000 penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) bersama isteri dan suami atau anak masing-masing di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang yang dianggarkan bersamaan 14,000 pengundi memilih Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, BN boleh memenangi kerusi DUN ini, kata Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Tuan Haji Nik Dir bin Nik Wan Ku.



Katanya, BN boleh merampas semula DUN itu jika 14,000 penduduk DUN Rhu Rendang memilih BN berbanding keseluruhan kira-kira 21,000 pengundi berdaftar yang terdapat di kawasan itu.



“Kalau mereka (penerima BR1M) pangkah BN, BN boleh menang. Jadi kita harap mereka menghargai bantuan yang disediakan kerajaan itu termasuk bantuan lain seperti Dana Khas Hari Raya, Dana Remaja dan sebagainya,” katanya kepada Teganukita, di Sekolah Kebangsaan Medan Jaya, Marang, baru-baru ini. 



Sehingga kini, seramai 6,298 penduduk DUN itu menerima BR1M dengan peruntukan kira-kira RM3.1 juta menerusi tiga fasa pengagihan sejak awal tahun ini.



Beliau berkata, fasa ketiga dan keempat akan diadakan dalam tempoh terdekat melibatkan jumlah hampir 400 penerima , selain sejumlah penerima lagi akan mendapat bantuan RM500 setiap orang itu sebaik selesai urusan pemprosesan semula bagi kumpulan pemohon BR1M yang membuat rayuan.



Katanya, BR1M yang baru dimulakan tahun ini diharap dapat mencetus peralihan minda dan perubahan angin majoriti penduduk di Rhu Rendang dan seluruh Marang supaya tidak lagi memihak kepada Pas yang terbukti gagal membela nasib rakyat.



“Di Terengganu termasuk orang Rhu Rendang dan Marang adalah manusia paling bertuah. Bukan setakat di dunia, malah di negara kita sendiri, di mana tiada bantuan yang disediakan di negeri lain, dilaksanakan di negeri ini seperti bantuan Dana Hari Raya, Tabung Penyakit Kronik, bantuan atap biru, membaiki rumah, bantuan sekolah, pakaian seragam dan e-Book.



“Jika dikira bantuan yang kecil lebih daripada sepuluh, yang ada di Terengganu, tidak ada sama sekali di negeri lain. Contohnya bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, kita terbahagi kepada dua daripada Kerajaan Pusat dan negeri yang mencecah 1,580 penerima bantuan bulanan berkenaan.



Selain itu, katanya lebih 100 penduduk Rhu Rendang turut menerima bantuan bulanan daripada Majlis Agama dan Istiadat Melayu Terengganu yang menjadikan jumlah bantuan daripada kedua-dua agensi itu mencapai sehingga 1,700 orang.


Sumber: teganukita
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...