Khamis, 8 Mac 2012

Kejayaan STPM realisasikan misi kerajaan


Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said merakam penghargaan kepada pelajar, guru dan semua pihak yang berjaya membawa misi kerajaan bagi menjadikan Terengganu sebagai negeri anjung ilmu.

“Tahniah kepada anak-anak Terengganu, guru-guru dan semua pihak yang sentiasa memberi komitmen menjayakan pembangunan pendidikan di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Iman hari ini.

Katanya,walaupun keputusan yang diterima hari ini begitu membanggakan namun tidak ada istilah berpuas hati dalam dirinya kerana apa yang diinginkan ialah peningkatan dari masa ke semasa.

Menurutnya, seramai 2,810 orang calon yang mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun lalu dan telah mencatat keputusan keseluruhan 95.34 peratus berbanding tahun sebelumnya 94.69 peratus.

“Dengan keputusan ini sekali lagi kita berjaya mengatasi keputusan di peringkat nasional yang memperolehi 93.69 peratus,“ katanya.

Tambahnya, Gred Purata Negeri (GPN) juga meningkat tahun ini iaitu 2.33 peratus berbanding tahun sebelumnya 2.49 peratus.

Bagaimanapun katanya, kita belum pasti sama ada dapat pertahankan kecemerlangan untuk tahun keempat berturut-turut kerana masih menunggu keputusan penuh negeri lain.

“Berasaskan keadaan semasa, saya mendapat maklumat bahawa semua keputusan bagi STPM tahun lalu menurun sedikit membabitkan semua negeri namun keputusan kita meningkat,” katanya.

Sehubungan itu, Menteri Besar menyatakan sasaran kerajaan dua peratus yang ingin dicapai dalam STPM belum terlaksana lagi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...