Jumaat, 23 Mac 2012

Kemasukan pelancong ke pulau perlu dihadkan

Image Detail 
Kerajaan negeri mungkin mengehadkan kedatangan pelancong ke pulau-pulau di negeri ini, terutama Pulau Redang bagi memulihara habitat laut.dan mengelak kawasan berkenaan daripada pencemaran alam.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, YB Dato’ Haji Rahin Mohd Said, berkata langkah itu amat wajar kerana hidupan laut seperti batu karang dan penyu kini semakin pupus akibat kelalaian pengusaha chalet dan pelancong.

Katanya, pelbagai faktor boleh menyebabkan aset laut itu mudah rosak, antaranya penggunaan `kaki itik’ (alat renang) serta sisa buangan seperti air sabun dan syampu.

“Pihak kami serius membendung masalah seumpama ini kerana dibimbangi generasi akan datang tidak lagi mengenali apa yang dimaksudkan batu karang.

“Kita masih lagi berbincang mengenai bagaimana cara mengatasi perkara ini secara berkesan supaya tidak mendatangkan kerugian mana-mana pihak iaitu kepada alam sekitar dan pengusaha chalet,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Sebanyak 12 Kelab Program Pelancongan pelbagai sekolah di negeri ini menerima bantuan keseluruhan RM6,000 di mana setiap kelab mendapat RM500.

Dato’ Haji Rahin turut memberitahu, jumlah 2,000 pelancong yang mengunjungi pulau dalam tempoh sehari dianggap sudah memadai kerana dalam kadar itu penggunaan sisa buangan dapat dikawal.

“Mewujudkan pakej tertentu kepada pelancong seperti perlu berada di mana-mana lokasi menarik di daratan seperti di Tasik Kenyir, selama dua hari satu malam manakala berada di pulau pula dalam tempoh bersesuaian adalah wajar sebagai langkah mengatasi masalah yang dihadapi sekarang,” katanya.
 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...