Isnin, 16 Januari 2012

Candat sotong mampu tarik ramai pelancong


Kedatangan pelancong ke negeri ini melebihi jangkaan iaitu 3.9 juta orang berbanding sasaran awal 3.4 juta tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said berkata, pertambahan jumlah ini amat ketara apabila 29,000 orang mengunjungi Karnival Mencandat Sotong pada bulan Mei.


“Berikutan kejayaan program itu, kerajaan akan jadikannya sebagai acara tahunan dan tercatat dalam jadual pelancongan negeri,” katanya selepas sesi pembentangan kertas kerja Karnival Candat Sotong Harian Metro di Wisma Darul Iman semalam.
Hadir sama Pengarang Eksekutif (Berita) Harian Metro merangkap Pengerusi Karnival Candat Sotong, Encik Othman Mamat dan Pengurus Projek, Encik Abdul Kadir Hamza.

Katanya, program candat sotong anjuran bersama kerajaan negeri dan akhbar Harian Metro berjaya menarik orang ramai dari dalam dan luar negeri serta mampu meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke negeri ini.

Katanya, tahun ini karnival akan diadakan pada 4 hingga 6 Mei depan ini di Dataran Shahbandar Kuala Terengganu yang turut dimeriahkan dengan pelbagai acara termasuk persembahan kebudayaan, konsert mini serta beberapa pertandingan sampingan lain yang menawarkan hadiah lumayan.

“Saya harap dengan menambah lebih banyak acara sampingan dapat menarik lebih ramai pengunjung untuk menyertai pelbagai kategori pertandingan yang bakal diadakan nanti,” katanya.

Menurutnya, tahun lalu karnival menerima 400 peserta dari dalam dan luar negeri dan hasil promosi yang dijalankan penyertaan dijangkakan meningkat 20 peratus tahun ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...