Sabtu, 7 Januari 2012

Polis benar Perhimpunan 901


KUALA LUMPUR 6 Jan. - Polis Kuala Lumpur hari ini membenarkan penganjur Kempen Bebaskan Anwar 901 mengadakan perhimpunan di tempat letak kereta Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada Isnin depan dengan syarat, ia berlangsung dalam keadaan aman dan teratur.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh selepas mengadakan pertemuan dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Sehubungan itu, orang awam yang ingin berurusan di kompleks mahkamah tersebut pada berkenaan diminta meletakkan kenderaan masing-masing di Stadium Hoki Jalan Duta atau Bangunan Matrade.


Tempat letak kereta di kompleks tersebut akan ditutup sepenuhnya kepada pengguna kenderaan awam manakala tempat letak kereta di bahagian dalam kompleks itu hanya dikhaskan kepada kakitangan mahkamah dan hakim-hakim sahaja.

''Hasil pertemuan antara polis dengan Azmin dan beberapa lagi ahli PKR, kedua-dua pihak mencapai kata sepakat dan antaranya, polis membenarkan perhimpunan itu diadakan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2011 yang telah diluluskan di Parlimen, baru-baru ini," katanya pada sidang akhbar di IPK Kuala Lumpur selepas selesai pertemuan dengan Azmin.

Dalam pada itu, Azmin pada sidang akhbar yang sama memberi jaminan perhimpunan tersebut akan berjalan secara aman dan teratur.

Beliau turut berterima kasih dan menghargai polis kerana menjemputnya bagi membincangkan berkenaan perhimpunan tersebut.

"Perbincangan agak panjang dan saya setuju perhimpunan akan dijalankan dengan teratur dan aman selaras dengan kerjasama yang diberikan polis dan KDN (Kementerian Dalam Negeri)," katanya.

Sebelum itu, Mohmad turut mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang diketuai oleh Timbalan Presidennya, Datuk Abdul Rahman Abu Bakar.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, beliau telah mengarahkan Mohmad supaya mengadakan pertemuan dengan penganjur perhimpunan bagi membincangkan lokasi sesuai untuk mereka berhimpun.

Sementara itu, Abdul Rahman ketika ditemui di luar IPK Kuala Lumpur memberitahu, Perkasa dan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) akan mengadakan majlis solat hajat dan qiamullail di Masjid Wilayah pada Ahad ini bermula selepas solat Asar.

Difahamkan, terdapat ceramah-ceramah keagamaan yang akan dimuatkan dalam majlis tersebut.

Jelas beliau, pihaknya telah mendapat kebenaran daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengadakan majlis solat hajat dan qiamullail di masjid berkenaan.

"Selain itu, kita (Perkasa) dan Pekida memberi jaminan tiada sebarang provokasi dalam majlis solat hajat dan qiamullail yang akan kita laksanakan Ahad ini.

"Kita juga menjangkakan 2,000 individu yang akan menyertai majlis solat hajat dan qiamullalil yang dianjurkan oleh kita di Masjid Wilayah," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...