Yang pastinya, rasa kecewa dan ngeri terhadap
hala tuju politik negara nampaknya mula menggigit kesejahteraan rakyat. Keadaan
ekonomi dunia yang suram jelas diputar oleh pembangkang demi menanam persepsi
bahawa Malaysia negara yang paling teruk terkena kesannya.
Apa sahaja
kesempatan dan peluang akan digonggong seerat mungkin oleh pembangkang untuk
menggambarkan betapa pimpinan negara begitu berdosa dan lemah hingga
mengakibatkan kemurungan ekonomi ini.
Pembantaian
terhadap wibawa kerajaan disebarluaskan dalam setiap kesempatan untuk
meluruhkan sendi politik kerajaan. Nama Malaysia pun ditaburkan pelbagai satu
keburukan.
Akhirnya pihak
pembangkang meyakini kempen yang ditebarkannya bahawasanya Malaysia memang
benar sebuah negara yang gagal mencapai matlamatnya.
Akibatnya,
secara langsung atau tidak ramai rakyat yang mempunyai kemampuan dan kemahiran
berasa Malaysia bukan lagi sebuah tempat tinggal yang sejahtera dan tenteram.
Maka banyaklah cakap-cakap mahu berhijrah.
Namun statistik
rasmi berhubung penghijrahan rakyat berkemahiran dan berpemikiran tinggi keluar
Malaysia tidaklah begitu besar. Pemerintah masih yakin penghijrahan ini boleh
dibendung.
Bagaimanapun
yang dikhuatiri ialah polemik, pertembungan dan konflik yang dipacu oleh semua
pihak yang cuba menyusun-atur politik Malaysia mengikut selera mereka ini,
terus mengusik jiwa rakyat.
Segala
tohmahan, fitnah dan pemikiran politik ganas seperti mahu menggalakkan tidur di
jalan raya berhari-hari seperti pernah berlaku di negara jiran dan Arab Spring,
amat mengusik kalbu rakyat
Hampir semua
isu dan masalah negara boleh dikaitkan dengan politik. Kepemimpinan politik
Malaysia goncang. Strategi dan serang balas tokoh dan parti politik hanya
menyesakkan keharmonian kaum, bangsa dan agama.
Mungkinkah
rakyat sudah mula lesu dan mual dengan politik?
Sumber: Antarapos