Selasa, 26 April 2016

Najib akan menghadap Sultan Terengganu selesai isu MB

Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual menghadap Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dalam masa terdekat berhubung perkembangan terkini di negeri itu.

Sehubungan itu Perdana Menteri berharap semua pihak tidak membuat spekulasi berhuhung kedudukan Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman.

"Selepas majlis menghadap itu saya akan keluarkan kenyataan. Saya berharap kita tidak membuat spekulasi yang bukan-bukan.

"Kerajaan Terengganu akan berjalan seperti biasa. Apa-apa perkembangannya akan saya maklumkan kemudian," katanya yang dipetik mStar Online.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi mengenai penarikan balik darjah kebesaran termasuk 'Datuk Seri' oleh pihak istana kepada Ahmad Razif.


Desas-desus perkara itu menjadi viral di laman sosial sejak Sabtu lalu.

Tiga majlis yang dihadiri Ahmad Razif pada Sabtu dan Ahad hanya menyebut beliau sebagai Menteri Besar tanpa menyebut nama atau gelarannya.

Pihak media bagaimanapun tidak menerima sebarang kenyataan rasmi berhubung penarikan balik darjah kebesaran itu.

Ahmad Razif dikurniakan Darjah Dato' Paduka Mahkota Terengganu Kehormat (DPMT) yang membawa gelaran Datuk pada 2012 serta Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZ) yang membawa gelaran Datuk Seri pada April 2015.

Ahmad Razif yang juga Ahli Dewan Undangan Seberang Takir mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu menggantikan Datuk Seri Ahmad Said pada 12 Mei 2014.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...