Selasa, 12 April 2016

Remaja India Rayu Jangan Halang Dakwah Zakir Naik

KUALA LUMPUR – Seorang mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS), Risimaran Subramaniyam merayu pihak berkuasa membenarkan pendakwah bebas dari India, Dr Zakir Naik untuk berdakwah.

Risimaran melalui laman Facebook menyifatkan ceramah yang disampaikan oleh Zakir Naik amat mudah untuk difahami sekaligus menyebabkan masyarakat saling menghormati antara satu sama lain.

“Saya telah mendengar ceramah Dr Zakir sejak saya berumur 14 tahun, jelas gila kalau dengar ceramah dia kat Youtube. Bagi tahu saya siapa yang mampu untuk ingat keseluruhan versi kitab agama yang ada di dunia ini seperti Al-Quran, Bhagavad Gita, Tripitaka, Bible Penjanjian Lama dan Baru, semuanya (Zakir Naik) dah dikhatam, bukan setakat baca tapi khatam.


“Saya penganut Hindu yang tulin dan datang dari keluarga yang kuat berpegang dengan ajaran agama Hindu. Keluarga saya amat menitik beratkan ajaran agama Hindu. Selain itu saya banyak mengkaji mengenai ajaran, hukum dan semua yang berkaitan Islam. Kenapa saya belajar mengenainya? Supaya saya boleh lebih memahami mengenai ajaran agama lain dan saling menghormati dalam apa jua keadaan,” katanya memetik kenyataan tersebut.

Zakir Naik sebelum ini dijadualkan akan berada di UTEM bagi menyampaikan cermah yang bertajuk ‘Persamaan Antara Hinduisme dan Islam’.

Namun kehadiran Zakir Naik ke negara ini mendapat bantahan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF) dan Pemuda MIC kerana bimbang ia akan menyentuh sensitivi agama.

Sementara itu Risimaran turut menyifatkan Zakir Naik sebagai seorang ulama Islam yang menyebarkan ilmu dan bukan sebaliknya.

“Secara jujurnya walupun ceramah yang disampaikan (Zakir Naik) nampak mudah namun ia sangat bermakna kerana senang nak faham dan kuliah beliau yang banyak mengajar saya tentang Islam. Kemon la, kuliah dia (Zakir) mengenai persamaan antara Hindu dan Islam. Saya amat bangga apabila ada penganut bukan Hindu mampu bercakap dengan baik mengenai pegangan agama saya. Beliau telah berjaya menambat hati dan minda saya.

“Malaysia patut bangga sebab Ulama macam beliau tak senang nak pijak Bumi kita, tolong jangan halang orang berdakwah (kerana) dia sampaikan ilmu (dan) bukannya menyebarkan ajaran sesat bagai. Beliau seorang ulama yang ulung. P/s: Hindus dan Muslim, jangan salah faham dengan maksud yang ingin saya sampaikan. Saya tidak berniat untuk mewujudkan sebarang sentiman agama” ujarnya lagi. – SuaraTV


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...