KUALA LUMPUR - Selepas seorang gadis bukan Islam memeluk Islam pada ceramah
pendakwah terkenal dari India Dr Zakir Naik di Kemaman Khamis lepas, empat lagi mengucapkan dua kalimah
syahadah pada ceramah ilmuan Islam itu di Stadium Hoki Bukit Jalil di sini malam
tadi.
Seorang daripada mereka ialah Hurender Bal Singh, 23, dari India
yang membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan penjelasan diberikan
Zakir berhubung bukan Islam memeluk agama Islam untuk berkahwin.
Sebelum membimbing lelaki itu mengucapkan dua kalimah
syahadah, Zakir berulang kali bertanyakan kepadanya jika ada sesiapa yang
memaksanya memeluk agama Islam.
"Tidak, tiada siapa yang paksa saya. Saya percaya kepada Allah dan Nabi Muhammad ialah
pesuruh Allah dan saya dengan rela hati mahu menjadi seorang Muslim," kata
lelaki Punjabi itu dalam sesi soal-jawab pada ceramah yang dihadiri lebih
30,000 orang.
Sejurus selepas Hurender Bal Singh mengucapkan dua
kalimah syahadah, seorang wanita yang memakai jubah dan skaf hitam, tanpa
menyatakan nama dan dari mana, telah menyatakan keinginannya untuk memeluk
agama Islam.
Zakir kemudian bertanya kepada wanita itu sekiranya
beliau percayakan Allah dan Nai Muhammad sebagai pesuruh Allah, dan dijawab
wanita itu 'ya' dan terus membimbingnya mengucapkan dua kalimah syahadah dengan
disusuli sorakan pengunjung sebagai memberi semangat dan ada antara mereka
dilihat menitiskan air mata.
Selepas bertanyakan beberapa soalan, seorang lagi
wanita yang mahu dikenali sebagai Muchelle mengumumkan ingin mengucapkan dua
kalimah syahadah dan dibimbing oleh pendakwah itu untuk berbuat demikian.
Seorang lelaki dari Sarawak, Joel anak Along, 26, berasal dari
Miri yang menyatakan telah mempelajari tentang agama Islam sejak beberapa tahun
lepas turut memutuskan untuk memeluk Islam selepas bertanyakan kepada Zakir
tentang hikmah syahadah.
Khamis lepas, Wu Nina Grace, 19, memeluk Islam
dengan mengucapkan dua kalimah syahadah pada ceramah Dr Zakir dengan disaksikan
hampir 40,000 orang di Padang Astaka, Kemaman, Terengganu. - Bernama