Sabtu, 23 April 2016

RTC Bukti Kerajaan Tidak Pinggir Masyarakat Luar Bandar

DUNGUN, 23 April (Bernama) -- Kewujudan 10 Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di seluruh negara membuktikan kerajaan tidak meminggirkan masyarakat luar bandar dalam arus pembangunan negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata kerajaan sentiasa berusaha melakukan perimbangan dari segi pembangunan dan perkhidmatan kepada rakyat sama ada di bandar mahupun luar bandar.

"Di luar bandar adalah pusat kuasa rakyat ... di mana orang luar bandar menjadi pendukung utama kerajaan yang ada hari ini, ertinya kerajaan tidak melupakan orang luar bandar.

"Ertinya kewujudan RTC ini juga sebahagian daripada transformasi membandarkan kawasan-kawasan luar bandar," katanya ketika berucap melancarkan RTC Terengganu di Bandar Al-Muktafi Billah Shah di sini, Sabtu.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Bangunan RTC Terengganu terdiri dua blok mengandungi 36 unit mula digunakan pada 1 Sept 2014. Antara jabatan dan agensi kerajaan yang menyediakan perkhidmatan ialah Jabatan Imigresen; Jabatan Perkhidmatan Veterinar; Yayasan Pembangunan Usahawan dan Jabatan Pendaftaran Negara.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...