Khamis, 21 April 2016

Dr Mahathir Berselindung Di Sebalik Alasan Cuba Selamatkan UMNO

KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berselindung di sebalik alasan kononnya setiap tindakannya adalah demi kebaikan UMNO, kata Menteri Komunikasi dan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak semalam.

Dalam catatan di blognya (sskeruak.blogspot.com), Salleh berkata sebenarnya Dr Mahathir berbuat sebaliknya.

“Bagaimana pula bersekongkol dengan penasihat DAP Lim Kit Siang, yang paling tidak sukakan UMNO, dan juga anggota pembangkang yang lain, dianggap demi kebaikan UMNO? Adakah dengan membakar rumah, satu tindakan untuk membaiki rumah itu?” katanya.


Dr Mahathir terlibat terlalu mendalam dengan DAP sehinggakan beliau telah menjadi musuh UMNO dan bukan lagi rahsia akan hakikat bahawa beliau mahu menghukum UMNO seperti apa yang beliau pernah lakukan pada 2008, katanya.

“UMNO perlu sedar bahawa Dr Mahathir sedang bekerjasama rapat dengan Lim dan DAP dengan harapan bahawa Barisan Nasional (BN) akan gagal dalam pilihan raya umum ke-14 nanti.

“Sebab itu kenapa Dr Mahathir tidak dapat menerima keputusan positif dibuat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB) serta penjelasan diberikan kerajaan Arab Saudi bahawa RM2.6 bilion itu sebenarnya derma,” katanya.

Salleh berkata Dr Mahathir akan terus mencari apa juga alasan yang dapat dicarinya untuk menyerang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau Dr Mahathir kelihatan amat keliru dengan apa motif sebenar beliau .

“Pertama, beliau (Dr Mahathir) menentang perdana menteri dan mahu beliau (Najib) digantikan, jika tidak, Dr Mahathir mendakwa UMNO dan BN akan kalah dalam pilihan raya umum akan datang.

“Jika Najib memudaratkan parti dan, dengan itu, beliau patut digantikan, siapa yang Dr Mahathir cadangkan sebagai pengganti? Ini, tidak dinyatakan oleh Dr Mahathir dan malah beliau berkata ia tidak sepatutnya Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Seperti dinyatakan oleh Najib pada minggu lepas semasa ditemu ramah media Indonesia, Dr Mahathir kecewa kerana anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir, gagal naik dalam UMNO dalam cubaannya menerajui kepimpinan Pemuda UMNO pada 2009 dan menduduki kerusi Naib Presiden UMNO pada 2013.

“Jawatan Ketua Pemuda dan Naib Presiden UMNO akan menjadi prasyarat untuk Mukhriz menjadi timbalan perdana menteri dan pada masa depan sebagai perdana menteri dan kini ia tampaknya mustahil,” kata Salleh. – BERNAMA


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...