KUALA TERENGGANU: Terengganu mencuri tumpuan untuk mengesahkan tempat bagi melayakkan ke pusingan kedua Piala Konfederasi Asia (AFC) setelah membenam cabaran pasukan kelab dari Vietnam, Song Lam Nghe An, 6-2 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini malam ini.
Biarpun berhadapan dengan tekanan psikologi penyokong akibat beberapa siri kekalahan pasukan Pantai Timur itu sejak akhir-akhir ini nyata tidak melunturkan semangat anak didik Mat Zan Mat Aris untuk memburu kemenangan ketiga dalam saingan Kumpulan F.
Tidak cukup dengan itu, pemain import dari Liberia, Francis Forkey Doe menambah jaringan kedua selang tujuh minit kemudian apabila bijak mencuri peluang menewaskan tiga pertahanan lawan hasil bola umpanan dari Joseph Kalang Tie dari tengah padang.
Tersentak dengan dua jaringan tuan rumah, Vietnam bingkas mengatur serangan dan Pham Van Quyen pantas mencuri peluang pada minit ke-29 untuk menjaringkan gol pertama pelawat sebelum Forkey Doe dan Abdul Hadi Yahaya masing-masing meledak gol ketiga (min-34) dan keempat (min-37) untuk penutup aksi babak pertama.
Selang babak kedua bermula, tuan rumah terus melancarkan serangan ke kubu lawan dan bagaimanapun beberapa gerakan dan hantaran yang dilancarkan berjaya dipatahkan barisan pertahanan lawan.
Namun kubu pertahanan lawan itu sekali lagi bocor apabila Forkey Doe menambah derita pasukan pelawat apabila melakukan hatrik pada minit ke-72.
Ketinggalan lima gol nyata memberi tekanan kepada skuad bimbingan Nguyen Huu Thang namun anak didiknya tidak berputus asa melancarkan gerakan untuk menambah jaringan dan berjaya menghasilkan gol pada minit ke-83 menerusi ledakan Van Binh.
Empat minit sebelum masa permainan berakhir, Terengganu menerusi pemain tengah Joseph Kalang melengkapkan kemenangan bergaya buat sang penyu dengan gol keenam tuan rumah.
Kemenangan tersebut membolehkan pasukan Terengganu menghuni tangga kedua dengan pungutan sembilan mata, kekurangan satu mata di belakang pasukan kelab Kitchee FC dari Hong Kong apabila pasukan tersebut sekadar seri tanpa jaringan dengan Tampines Rovers di Stadium Jalan Besar, Singapura, hari ini.
Terengganu akan mengakhiri perlawanan peringkat kumpulan dengan menentang Kitchee FC di Stadium Tseung Kwan, Hong Kong, pada 9 Me ini. - BERNAMA