Cepat ‘koyak’ punca Sanusi gelar agensi kerajaan ‘barua’.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor titidak sepatutnya terlalu beremosi sehingga melabel agensi kerajaan dengan perkataan yang kasar berhubung siasatan rasuah melibatkan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).
Menurut Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu sepatutnya menyerahkan siasatan kepada pihak berkuasa.
“Saya fikir Menteri Besar ini ‘koyak’, dia ‘koyak’ kuat sangat. Dia tak perlu emosional kerana agensi kerajaan ini di zaman siapa pun yang jadi kerajaan bila sampai kepada siasatan tertentu akan buka fail untuk disiasat.
“Kalau ada kes, ada lah. Tak ada tak apa lah, tapi cara dia maki hamun dengan perkataan kasar guna ‘barua’ semua tak adil lah untuk kakitangan kerajaan dan juga media,” katanya pada sidang akhbar.
Pada 7 Januari lalu, Muhammad Sanusi yang juga Presiden KFA memesan kepada agensi kerajaan untuk tidak menjadi ‘orang suruhan’ susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kes rasuah bernilai RM6 juta.
“Saya hendak pesan kepada agensi awam, jangan jadi barua kepada puak-puak ini, barua ini bahasa Kedah ‘PakYid’ (orang suruhan),” kata Muhammad Sanusi.
SPRM sebelum ini menahan reman empat individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif KFA selain memanggil Muhammad Sanusi bagi memberi keterangan melibatkan kes rasuah yang berlaku pada 2020.
Kelmarin, Muhammad Sanusi menegaskan tiada kes penyelewengan atau pecah amanah melibatkan wang bernilai RM6 juta seperti yang disiasat SPRM.