Kerajaan
Terengganu tidak akan berkompromi dengan
mana-mana Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang
tidak menjalankan tugas dengan baik sebagaimana yang telah ditetapkan.
Menteri
Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, tindakan tegas akan diambil termasuk menamatkan
perkhidmatan secara serta-merta sekiranya JKKK tersebut melanggar
peraturan dan tidak menepati Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang
dilaksanakan di bawah transformasi politik menerusi konsep Transformasi
Terengganu Baharu (TTB).
"Kita
tak mahu ada lagi pengerusi JKKK yang tidak melakukan kerja dengan baik yang
mana mereka tidak ambil tahu mengenai masyarakat di kawasan mereka... kita juga
tak nak dengar lagi rakyat merungut JKKK mereka mementingkan
kroni sahaja hingga nak tandatangan borang pun susah.
"Hal
ini memang saya pandang serius sebab JKKK mewakili parti dan mewakili kerajaan,
jadi mereka harus melakukan tugas dengan baik... kadang-kadang hanya kerana
seorang JKKK yang buat hal, habis semua JKKK lain yang dipandang tidak baik.
"JKKK
sepatutnya menolong dan memudahkan urusan masyarakat, tak usahlah buat susah,
kita permudahkan sahaja apa yang patut barulah rakyat tak marah," katanya.
Beliau
berkata demikian pada Majlis Himpunan Orang Kuala Berang (OKB) yang dihadiri
lebih 2,000 penduduk di sekitar Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Berang, dekat
sini semalam.
Turut hadir
Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Negeri, Datuk Tengku
Putera Tengku Awang dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia
Negeri Datuk Rozi Mamat.
Ahmad Razif
berkata, pihaknya akan membuka satu pusat aduan di Pejabat Menteri Besar Wisma
Darul Iman bagi memudahkan orang ramai membuat aduan sekiranya tidak berpuas
hati dengan perkhidmatan yang diberikan JKKK di kawasan mereka.
"Aduan
secara terus boleh dibuat di pusat aduan ini yang mana saya akan hantar segera
pegawai menyiasat setelah aduan dibuat dan kalau betul JKKK tersebut tidak
jalankan tugas, kita akan tamatkan perkhidmatan mereka serta-merta,"
katanya.
Pada majlis
tersebut, Ahmad Razif turut meluluskan peruntukan sebanyak RM1.39 juta untuk
empat projek pembangunan di kawasan Dun tersebut.
"Sebanyak
RM1.1 juta diluluskan bagi membina sebuah masjid baru di Kampung Pasir Tinggi,
RM200,000 diberikan sebagai dana tambahan untuk membina pusat hemodialisis dan
fisioterapi bagi kegunaan orang ramai di daerah ini," katanya.
Katanya,
sebanyak RM50,000 diluluskan bagi membina sebuah gimnasium yang lengkap untuk
orang muda manakala RM40,000 diluluskan untuk membeli kipas besar bagi
kemudahan Masjid Kampung Buluh. - Bernama