KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menyiasat kemungkinan
wujud unsur rasuah dalam pembangunan projek-projek di ibu negara, khususnya
yang membabitkan projek mega, sehingga menyebabkan kejadian banjir kilat baru-baru ini, kata Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata pihak
berkuasa yang berwajib akan diminta menjalankan siasatan itu dan menyediakan
laporan lengkap mengenainya bagi membolehkan tindakan susulan diambil.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa
Kabinet mengenai Bencana Alam berkata pihak yang saling menuding jari dalam
permasalahan itu juga akan diminta duduk bersama bagi mencari jalan terbaik
untuk menangani isu berkenaan.
“Yang terbaik ialah menyelesaikan
masalah rakyat ini dalam jangka segera dan dalam jangka panjang supaya ia tidak
berlaku lagi. Tidak sepatutnya banjir kilat berlaku di Kuala Lumpur kerana
sistem dan infrastrukturnya cukup baik.
“Mungkin ada permasalahan dari segi
pengaliran air hujan berlebihan…saya akan membantu kementerian dan jabatan
berkenaan untuk selesaikan masalah ini,” katanya kepada pemberita selepas
merasmikan Hari Keluarga 2016 Kementerian Dalam Negeri dan Pejabat Timbalan
Perdana Menteri di Markas Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) di Cheras,
hari ini.
Turut hadir Timbalan-timbalan Menteri
Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Masir Kujat serta Ketua Polis Negara
Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga
Menteri Dalam Negeri menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk
membuat penyiasatan susulan tindakan kartunis politik tempatan, Zulkifli Anwar
Ulhaque atau Zunar yang mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
melalui karyanya pada satu pameran di Geneva, Switzerland.
“Dari segi pengendalian, saya serahkan
kepada pihak polis…itu pendekatan saya, atau beberapa pihak lain dari segi
pelaksanaan penyiasatan dan tindakan undang-undang,” katanya yang berpendapat
isu itu turut membabitkan aspek moral, akhlak, dan integriti individu
berkenaan.
“Mengkritik tidak jadi masalah, tetapi
menghina adalah satu perkara lain… saya terima kritikan terutama yang membina
sebagai sesuatu yang sihat tetapi menghina adalah sangat berbeza.
“Saya fikir dalam hal ini saya minta
supaya Allah buka hati mereka supaya segera bertaubat dan segera untuk
menggunakan pendekatan lain kalaupun mahu meraikan perbezaan pendapat,”
katanya.