Selasa, 17 Mei 2016

Penguatkuasa MDM Perlu Tegas Dalam Menangani Perkara Ini

MARANG - Polis Daerah Marang dengan kerjasama pihak Majlis Daerah Marang (MDM) bertindak menurunkan sebanyak 360 kain rentang, 'banner' dan iklan pinjaman wang haram atau Ah Long, di daerah ini, hari ini.

Operasi yang dilakukan bersama-sama anggota MDM bermula 8 pagi hingga 12 tengahari itu turut membabitkan sekumpulan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang.

Ketua Bahagian Pengurusan Polis Daerah Marang, Asisten Superintendan Mohamad Zohan Seman berkata, operasi itu memfokuskan lokasi sekitar kawasan pentadbiran IPD Marang meliputi kawasan Bandar Marang, Merchang, Bukit Payung, dan Wakaf Tapai.


“Dalam operasi kira-kira empat jam itu, kita mengesan 360 keping iklan yang dipamerkan di sekitar kawasan pentadbiran IPD Marang yang tidak mendapat kebenaran dari pihak berkuasa tempatan,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Menurutnya, iklan yang diturunkan berkenaan juga didapati telah melanggar peruntukan 6(1) Undang-undang Kecil Iklan 1985 kerana mempamer iklan tanpa kebenaran bertulis daripada Yang DiPertua Daerah Marang.

Beliau berkata, polis Marang memandang serius kegiatan berkenaan dan akan sentiasa turun padang dalam usaha pencegahan sekaligus dapat membendung masyarakat daripada mendapat bantuan pinjaman wang haram atau Ah Long.

“Kita tidak mahu ia berleluasa dalam masyarakat sebagai cara untuk menyelesaikan masalah kewangan mereka dan sepanjang tahun ini tiada kes melibatkan kes pinjaman wang haram serta tangkapan melibatkan Ah Long,” katanya.

Sumber: KLIK DISINI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...