MARANG - Presiden
Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan tindakan beberapa Ahli Parlimen DAP
yang mempertikaikan usul yang dibawanya mengenai Rang Undang-undang Mahkamah
Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2015 di Dewan Rakyat semalam adalah tidak beradab dan ingin memusuhi Islam.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan tindakan DAP
yang terus melenting sebaik usul itu dibentang semalam jelas menunjukkan sifat
mereka yang biadab dan anti Islam.
Sedangkan katanya, terdapat parti bukan Islam seperti MCA, Gerakan
dan MIC juga kadangkala tidak bersetuju dengan agenda orang Islam namun mereka
lebih tertib dan beradab jika mereka tidak bersetuju dengan hal berkenaan.
"DAP
telah menunjukkan sikap anti Islamnya. DAP tidak
ada adab dan dia terus melenting dan menentang (usul berkenaan). Pada hal usul
ini tidak berkait dengan orang bukan Islam pun.
"Saya turut kesal dengan Amanah (Parti Amanah Negara) yang
digunakan DAP dalam hal ini kerana telah melanggar sempadan agama sendiri demi
kepentingan politik," katanya kepada pemberita di pejabat Kesatuan Ulama
Islam Sedunia di sini hari ini.- Bernama