Khamis, 5 Mei 2016

MBKT Tawar 16 Tempat Bazar Ramadan 2016

KUALA TERENGGANU - Orang ramai yang berminat untuk berniaga di tapak Bazar Ramadan di sekitar kawasan bandar raya Kuala Terengganu boleh mendapatkan borang permohonan petak jualan bermula hari ini (2 Mei) dan selewatnya 16 Mei.
Penolong Pengarah Perlesenan, Jabatan Kesihatan Persekitaran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Tengku Suhaimi Tengku Abu Bakar berkata, setakat ini sejumlah 16 tempat perniagaan dalam kawasan MBKT dikenal pasti bagi tujuan itu.
“Kita kenal pasti tempat perniagaan beserta tempat jualan borang, pengurusan dan kanopi untuk memudahkan peniaga membuat urusan berkaitan,” katanya.
Menurut beliau, kawasan berkenaan ialah pasar Chabang Tiga, Manir, Bukit Besar, Kedai Buluh, Batu Enam, tapak pasar malam Wakaf Tengah, tapak pasar malam Gong Badak, tempat letak kereta Batu Burok, Taman Permint Jaya dan Pengadang Baru.
“Juga di tapak pasar malam di Jalan Budiman, di samping Dataran Taman Purnama, Kampung Baru Seberang Takir, tempat letak kereta Masjid Tengku Tengah Kuala Ibai, pasar Teluk Ketapang dan pasar Bukit Tunggal,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, pemohon boleh hadir sendiri ke Pejabat Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil atau Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan berkenaan dengan membawa bersama kad pengenalan asal.

“Bayaran permit adalah RM70 dan bagi peniaga air tebu, air kelapa, ayam bakar/pusing dan ikan bakar akan dikenakan bayaran tambahan RM30,” ujarnya.
Sumber: KLIK DISINI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...