MARANG - Bagi nelayan di daerah ini, Mei
adalah bulan dinanti-nantikan kerana perairan Laut China Selatan di sini akan
memberikan rezeki berganda berbanding bulan lain.
Nelayan pantai malah nelayan laut dalam akan ke laut menangkap
sebanyak mungkin hasil laut terutama sotong yang membanjiri perairan berkenaan
sepanjang Mei sekali gus memberi keuntungan berganda.
Nelayan, Azman Idris, 37, yang ditemui di Pulau Kekabu, di sini,
semalam, mengakui ketika ini mereka mampu menaikkan sotong dalam kuantiti lebih
banyak dalam tempoh semalaman berada di laut berbanding hari biasa.
“Pada musim mencandat sotong ini kami berpeluang meraih pendapatan
lebih kerana purata hasil tangkapan yang berjaya dijual agak lumayan dan saya
dan rakan pernah meraih pendapatan sehingga RM400 dalam tempoh semalaman.
“Namun, disebabkan saya tidak mempunyai bot sendiri dan hanya
menumpang bot rakan, keuntungan itu dibahagi dua iaitu RM200 seorang. Jumlah
itu sudah cukup banyak bagi seorang nelayan seperti saya,” katanya.
Difahamkan sotong yang dicandat dijual kepada pemborong dengan
harga RM20 sekilogram sebelum hasil makanan laut itu dipasarkan di sekitar
daerah ini pada harga pasaran semasa.
Sementara itu, nelayan laut dalam, Mohamad Awang, 60, pula
berkata, pengusaha bot laut dalam juga meraih hasil pendapatan tambahan
memandangkan mereka turut menyewa bot mereka kepada pelancong yang ingin
mencandat.
Menurutnya, kadar sewa yang dikenakan bergantung kepada jumlah
peserta dan tempoh masa diinginkan, namun caj dikenakan masih berpatutan
walaupun tidak tetap bergantung kepada budi bicara pemilik bot.
“Mereka (pelancong) bagaimanapun tidak perlu bimbang kerana
pemilik bot di daerah ini tidak akan mengenakan caj melampau kerana mereka
telah menetapkan kadar itu selepas dipersetujui secara bersama,” katanya.