Anak Terengganu di perantauan berpeluang menikmati faedah yang sama sebagaimana rakyat Terengganu yang lain apabila kerajaan negeri bersedia menimbang permohonan mendapatkan pinjaman dan biasiswa pendidikan kepada anak-anak mereka.
Peluang itu terbuka untuk anak kepada mana-mana anak Terengganu di perantauan yang mendaftar mengundi di Terengganu bermula sekarang.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri bersedia menimbang sebarang permohonan kepada mereka yang mendaftar sebagai pemilih di negeri ini supaya turut sama menikmati pelbagai kemudahan khususnya pinjaman dan juga biasiswa tajaan Kerajaan Terengganu.
“Usaha ini bukan sahaja mampu menggalakkan mereka mendaftar sebagai pemilih dan juga pulang mengundi ke negeri kelahiran apabila tiba masa mengundi nanti. (tanggungjawab mendaftar )bukan sahaja kali ini, tetapi juga pada masa akan datang,” kata beliau di sidang akhbar selepas Majlis Aidilfitri YAB Menteri Besar Bersama Perantau, di Permai Hotel, kelmarin (20 Ogos).
Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Setiusaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Timbalan Presiden Persatuan Anak Terengganu Selangor dan Lembah Kelang (Pesat), Ir Nawawi Embong.
Menteri Besar berkata, anak Terengganu boleh mula mendaftar bermula sekarang dan mereka perlu pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi bermula Pilihan Raya Umum ke-14 dan seterusnya nanti.
Sumber:teganukita