Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT) akan menganjurkan Himpunan Usahawan Terengganu 2012 pada 21 Jun ini bertempat di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.
Program ini diadakan sempena Pelancaran Minggu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Peringkat Nasional yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada tarikh yang sama.
Ketua Pegawai Eksekutif YPUT, Haji Azmi Razik berkata, perhimpunan yang julung kali diadakan ini disertai seramai 1,000 usahawan dari seluruh negeri.
“Pada program ini Dato’ Sri Mohd Najib akan mengadakan ‘Tele Conference’ secara langsung dengan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said mulai jam 10.00 pagi hingga 11.00 pagi,” katanya kepada Teganukita.
Katanya, antara tujuan utama program ini adalah untuk menzahirkan sokongan padu dan terima kasih usahawan kepada kerajaan dan NGO keusahawanan yang memperjuang dan memartabatkan usahawan di samping komitmen komuniti usahawan sebagai nadi pembangunan ekonomi dan sosio ekonomi negeri.
Menurutnya, pelbagai aktiviti menarik diadakan sempena program itu termasuk ceramah motivasi keusahawanan, pameran usahawan dan beberapa agensi keusahawanan seperti MARA, TEKUN Nasional dan GABEM turut serta.
Sehubungan itu katanya, semua usahawan diminta tidak melepaskan peluang untuk menyertai program ini di samping dapat bertukar maklumat berkait perniagaan, mampu mewujudkan jaringan yang lebih erat antara rakan niaga.
Sumber:teganukita