Dua pelajar tajaan Yayasan Terengganu yang dikenal pasti terlibat dalam perhimpunan Bersih 3.0 di Dataran Merdeka, April lalu, bakal ditarik balik pinjaman.
Difahamkan salah seorang daripada mereka yang sedang menuntut di Trefound Educare dekat sini, dipercayai mempunyai pertalian keluarga dengan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, tindakan itu sebagai amaran terhadap sikap mereka yang seolah-olah mencabar kerajaan negeri sedangkan sudah sedia maklum syarat dan peraturan sebagai pelajar untuk tidak terlibat dengan perhimpunan haram tersebut.
"Kita kesal dan kecewa kerana masih ada pelajar-pelajar yang tidak mengambil iktibar selepas sembilan pelajar sebelum ini dikenakan tindakan sama kerana menyertai demonstrasi haram di luar negara.
"Selain dua pelajar ini, kita juga sedang mengumpul bukti terhadap beberapa lagi pelajar lain termasuk di bawah tajaan dan pinjaman Yayasan Terengganu yang disyaki turut terlibat dalam demonstrasi itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Polis Bersama Komuniti Kuala Terengganu pada Hari Keluarga 1Malaysia.
Menurut Dato’ Seri Haji Ahmad, pihaknya mempunyai bukti kukuh untuk mengaitkan kedua-dua pelajar itu ekoran rakaman video yang turut dimuat naik sendiri kedua-duanya pelajar itu menerusi laman sosial masing-masing.
Sumber:teganukita