Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said menegur sikap sesetengah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang tidak aktif membantu penduduk setempat agar undur diri dan beri peluang orang lain memimpin.
“Kalau rasa tidak mampu pimpin orang kampung, jangan terima jadi ketua kerana ia akan merugikan penduduk tempatan,” katanya di majlis Perjumpaan Menteri Besar bersama JKKK Daerah Kuala Terengganu di Stadium Negeri Kuala Terengganu.
Hadir sama, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Dato’ Sahlan Ismail; Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail dan Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Haji Wan Farid Wan Salleh.
Katanya, kerajaan banyak sediakan dana bantuan untuk baiki taraf kehidupan masyarakat kampung termasuk bantuan atap biru, bina rumah baru, baiki rumah, bantuan bulanan dan sebagainya.
Tambahnya selaku ketua dalam kampung, JKKK adalah penghubung kerajaan dengan rakyat di akar umbi dan kesilapan JKKK memberi kesan tidak baik terhadap wakil rakyat di kawasan berkenaan.
“Semua data setiap orang ada pada saya dan jangan ingat saya tidak tahu gerak geri setiap pemimpin parti semuanya dalam pengetahuan saya,” katanya.
Beliau melahirkan rasa yakin, jika pemimpin diperingkat akar umbi menjalankan tanggung jawab dengan jujur dan amanah rakyat tentu akan beri mandat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk terus memerintah negara ini.
Sumber:teganukita