GEORGETOWN: Sekumpulan penyelidik dari Pusat Pengajian Teknologi Industri, Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mencipta mi kuning kering yang boleh membantu penggunanya menurunkan berat badan.
Ketua Penyelidik, Prof Azhar Mat Easa berkata produk yang dipanggil mi berlapis itu diperkaya dengan zat kapsaicin bagi membolehkan proses pembakaran lemak berjalan secara efektif.
"Kapsaicin adalah zat pedas aktif yang terkandung dalam tumbuhan seperti cili dan tidak ramai orang boleh mengambilnya begitu sahaja dalam kuantiti banyak," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Katanya di negara maju seperti di Amerika Syarikat pengambilan kapsaicin lazimnya dalam bentuk kapsul dan mempunyai kesan sampingan terhadap kesihatan pengguna kerana ia mengandungi bahan kimia di samping memerlukan perbelanjaan yang besar.
Azhar yang menyifatkan produk itu adalah yang pertama seumpamanya di dunia kerana berbanding mi biasa, mi berlapis itu menawarkan pembekalan kapsaicin tanpa iritasi atau kepedasan dalam mulut.
Katanya setiap 100 gram mi mempunyai 17 miligram kapsaicin dan ia boleh membantu menurunkan berat badan sehingga 1 kilogram seminggu jika diambil secara konsisten dengan kuantiti 50 gram sehari.
"Menggunakan teknik hubung silang paut protein, mi ciptaan kami diadun secara merintang dan kapsaicin diapit oleh dua lapisan tepung menjadikan ia lebih kenyal dan padat.
"Sifat kenyal dan padat menyebabkan mi bertahan lama dalam sistem penghadaman dan mengupayakan zat pedas bertindak aktif membakar kalori dalam tubuh," katanya.
Selain berkhasiat dan mengenyangkan, katanya mi berkenaan boleh dinikmati sama seperti produk mi tipikal yang lain.
Inovasi itu turut memenangi anugerah emas dalam International Invention and Technology Exhibition (ITEX) 2012 di Kuala Lumpur pada Mei lepas.
USM kini dalam proses perbincangan dengan beberapa syarikat untuk mengkomersialkan produk berkenaan dan mi itu dijangka berada dalam pasaran tidak lama lagi dengan harga RM7 bagi setiap 100gram. - BERNAMA