Gambar hiasan |
Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (Perkaya) bercadang untuk membeli sebidang tanah kira-kira seluas 1.6 hektar di Bandung, Indonesia bagi mewujudkan agro desa (pelancongan desa) di sana.
Yang Dipertuanya, Dato’ Dr Tengku Mahmud Mansor berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim (Peyatim Asean) di negara jiran itu bagi membolehkan program tersebut dilaksanakan.
Menurut beliau, pelancongan desa yang akan dilaksanakan itu berkonsepkan perkampungan tradisi yang turut dilengkapi kemudahan penginapan dan aktiviti tradisi yang memberi peluang kepada pelancong mengenali masyarakat setempat.
``Apa yang penting melalui projek itu juga dapat memberi peluang kepada anak-anak yatim bertukar idea dan pandangan terutama dengan pelancong asing yang berkunjung ke situ,’’ katanya
Beliau berkata, projek tersebut akan dilaksanakan secepat mungkin setelah tapak sesuai dikenalpasti dan akan memberi peluang kepada anak-anak yatim yang telah menamatkan pengajian dalam bidang pelancongan dan hospitality untuk mengendalikannya.
Selain itu katanya, Perkaya akan berkerjsama dengan Peyatim Malaysia bagi membolehkan pelajar Kolej Teknologi Bestari (KTB) milik Peyatim dan Perkaya menjalani latihan praktikal di situ.
Beliau yang juga Yang Dipertua Peyatim berkata, selain di Bandung, Perkaya juga bercadang untuk melaksanakan projek seumpama itu di Sumatera, Kampuchea dan di Terengganu sendiri yang mana pada masa ini kawasan sedang dikenalpasti.
Katanya, projek tersebut merupakan satu usaha Perkaya dalam menjana pendapatan bagi membolehkan lebih ramai anak-anak yatim di negeri ini dibantu.
Beliau berkata, Terengganu tidak dinafikan mempunyai daya tarikan tersendiri untuk menarik orang luar berkunjung ke negeri itu yang sekaligus membantu kerajaan negeri bagi memperkenal Terengganu ke seluruh dunia.
Tengku Mahmud berkata, Perkaya memerlukan kira-kira RM2 juta setahun untuk pengurusan dan pengendalian asrama anak-anak yatim di Marang dan Besut.
“Pada masa ini Perkaya banyak terlibat dalam bidang pertanian seperti tanaman sawit dan ternakan,” katanya.