Kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM3 juta bagi menjalankan projek menaik taraf dan penyelenggaraan enam lokasi tumpuan pelancong di seluruh Terengganu sepanjang tahun ini.
Projek berkenaan melibatkan Lata Berani, Pulau Perhentian Kecil dan Air Terjun Lata Belatan (Besut), penyelenggaraan projek pelancongan daerah Marang, projek Taman Laut Terengganu dan membaik pulih kemudahan kawasan pelancongan Rantau Abang, Dungun.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said, berkata kerja menaik taraf Lata Berani, Pulau Perhentian Kecil melibatkan dua unit gazebo, satu kolam tadahan air serta laluan pejalan kaki dengan kos RM200,000.
“Kerja menaik taraf Air Terjun Lata Belatan, Jabi pula memerlukan kerja membaik pulih pagar, wakaf, membaiki jalan masuk dan membaik pulih tandas yang melibatkan peruntukan RM230,000.
“Kedua-dua projek menaik taraf ini dilaksanakan oleh Pejabat Daerah Besut dan dijangka akan selesai sedikit masa lagi,” katanya.
Dato' Abdul Rahin berkata, peningkatan kemudahan pelancongan di Hutan Lipur Lata Tembakah pula melibatkan kerja menaik taraf tempat letak kenderaan, tapak perkhemahan, pondok rehat, wakaf, tandas awam, bilik persalinan, sistem amaran banjir kilat, tapak permainan kanak-kanak dan menaik taraf denai-denai.
Beliau berkata, kos menaik taraf prasarana di Lata Tembakah membabitkan peruntukan RM1 juta yang dilaksanakan menerusi Jabatan Hutan Negeri Terengganu.
“Sementara kos RM350,000 disediakan menerusi Pejabat Daerah Marang bagi membina dan menyiapkan tempat menurun serta menaikkan bot pelancongan `slip way’ di Gong Tepas, Jalan Batangan serta menaik taraf jeti kecil bagi pendaratan bot pelancongan di Sungai kerak,” katanya.
Menurutnya, projek taman laut seluruh Terengganu yang dilaksanakan menerusi Pejabat Daerah Kuala Terengganu dengan kos RM750,000 melibatkan penyelenggaraan jeti PTL Pulau Pinang (Pulau Redang) membaik pulih komponen dan rangka utama menara `viewing tower’ PTL Pulau Pinang dan boardwalk PTL Pulau Pinang.
Kerja-kerja lain menerusi projek taman laut termasuk menyelenggara papan tanda peringatan di Pulau Lang Tengah, Pulau Tenggol, Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Pulau Kapas.
Selain itu, beliau berkata pembinaan empat kiosk, menaik taraf Dataran Penyu dan membaik pulih tandas serta surau dengan peruntukan RM800,000 pula bagi melaksanakan kerja membaik pulih kemudahan di kawasan pelancongan Rantau Abang, Dungun.
Sumber:teganukita