Kerajaan negeri berhasrat memperuntukkan RM20 juta menerusi Bajet 2013 khusus bagi merangka pelbagai program kemahiran perniagaan untuk ibu tunggal seluruh Terengganu supaya golongan itu mampu mengubah taraf kehidupan dan keluar dari paras kemiskinan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata peruntukan di bawah portfolio Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri itu bertujuan melatih lebih 21,000 ibu tunggal di negeri ini supaya dapat berdikari sendiri tanpa mengharapkan bantuan kebajikan bulanan daripada kerajaan semata-mata.
“Ada ibu tunggal sudah menjalankan perniagaan seperti menjahit dan membuat kuih, tetapi masih ada yang tidak membuat apa-apa pun, hanya tinggal di rumah mengharapkan belas ehsan dan bantuan kebajikan masyarakat sahaja.
“Kita perlu melatih mereka yang berminat berniaga supaya melibatkan diri dalam apa jua perniagaan secara kecil-kecilan.Berminat buat pakaian, kita latih mereka untuk menjahit, memotong pakaian di rumah masing-masing. Sebab itu kita sediakan peruntukan ini yang agak mencukupi untuk membantu mereka memulakan penghidupan dan perniagaan baru pada masa akan datang,” katanya di sidang akhbar selepas melancarkan Program Kar1sma Selendang Biru Semarak Kasih, di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad.
Kira-kira 5,000 wanita khususnya ibu tunggal seluruh Terengganu membanjiri program itu.
Menteri Besar berkata, kekangan peruntukan sebelum ini menyebabkan program latihan kemahiran kepada ibu tunggal yang berminat menceburi perniagaan tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
“Tahun ini kita tiada peruntukan khusus kepada ibu tunggal, bagaimanapun di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat ramai yang kita bantu. Sebagaimana tadi, kita bagi peralatan ..kementerian bagi, kita pun bagi, kita ada `Program Touch Point’ kita untuk berniaga tetapi (bantuan) ini bukan khusus kepada ibu tunggal. Kita masukkan di bawah dana bantuan kebajikan masyarakat untuk mengubah cara hidup dan pendapatan hidup mereka.
“Tetapi peruntukan (RM20 juta) ini khusus untuk ibu tunggal dan buat pertama kali kita sediakan bagi melatih dan memberi bantuan kepada golongan itu. Mungkin menerusi program sedia ada seperti menjahit, peruntukan baru ini akan disalurkan bagi membeli mesin jahit dan menyediakan modal bagi memulakan perniagaan itu,” katanya.
Katanya, kerajaan negeri turut menambah peruntukan sedia ada RM1,000 bagi perbelanjaan pengurusan kepada semua persatuan ibu tunggal di setiap Dewan Undangan Negeri yang menjadikan jumlah keseluruhan RM3,000 bagi memastikan kumpulan itu lebih aktif menjayakan program yang dapat memberi manfaat kepada ahli persatuan masing-masing.
Sumber:teganukita